Amri kembali hangatkan semi-pro 

Amri kembali hangatkan semi-pro 

Amri Yahyah kembali beraksi dalam arena bola sepak tempatan dengan menyertai PT Athletic FC yang bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro pada musim 2024/2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah keluar daripada persaraan apabila kembali aksi dalam arena bola sepak tempatan dengan menyertai PT Athletic FC yang bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro pada musim 2024/2025.

Penyertaan pemain kelahiran Tanjung Karang yang berusia 43 tahun bersama kelab terbabit didedahkan semasa Majlis Pelancaran Jersi & Meet ‘n Greet pada Ahad lalu dan disahkan sendiri bekas pemain Sabah FC itu.

Menurut Amri, beliau keluar daripada persaraan dan menyertai PT Athletic FC pada musim ini selepas ‘diugut’ rakan-rakan yang turut berada dalam pasukan berkenaan yang membuatkannya sukar untuk menolak.

Antara yang turut ‘memujuknya’ untuk kembali beraksi di liga kompetitif adalah bekas rakan sepasukannya di Selangor serta skuad kebangsaan, Nazrulerwan Makmor yang kini merupakan ketua jurulatih PT Athletic sendiri.

“Saya kena ugut sebenarnya, mereka minta sertai sama-sama naikkan pasukan ini. Saya tidak boleh sebenarnya kalau putus kawan, bagi saya biar putus duit, jangan putus kawan.

“Mereka cakap tak nak berkawan dengan saya jika saya tidak sertai pasukan, selepas fikir saya buat keputusan untuk sertai. Gaji tu takde masalah sebab memang saya tak berhasrat untuk menyertai mana-mana pasukan.

“Mungkin daripada situ, saya tengok keluarga)bagi galakan supaya teruskan balik, jadi saya masuklah balik, main untuk pasukan ini (PT Athletic), 

“Saya harap (kemasukan saya) ke dalam pasukan ini dapat membantu pemain-pemain muda ke peringkat tertinggi dan saya harap pasukan ini menyerlah pada tahun ini, Insya-Allah,” katanya.

Selain Amri, PT Athletic turut disertai penyerang legenda, Indra Putra Mahayuddin serta nama-nama besar yang menghiasi saingan Liga Super sebelum ini seperti Syazwan Zainon, Latiff Suhaimi, Nurshamil Abdul Ghani dan Adib Zainuddin. 

Mengulas mengenai persaraannya sebelum ini, Amri mengatakan pengumuman itu dibuat lebih kepada hasratnya untuk berehat seketika daripada menyertai mana-mana pasukan bola sepak profesional.

Untuk rekod, Amri dan PT Athletic akan memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan melayan kunjungan  Bukit Tambun FC pada 8 Jun ini di Stadium MMU, Cyberjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×