Beregu campuran tandus pemain wanita

Beregu campuran tandus pemain wanita

Chan Peng Soon dan Cheah Yee See mengambil keputusan bersara selepas Kejohanan Malaysia Masters 2024, minggu lalu. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik kejayaan pasangan campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menamatkan lima tahun kemarau negara pada Malaysia Masters 2024, timbul kesulitan membentuk lebih ramai pemain beregu campuran.

Perkara itu didedahkan jurulatih beregu campuran badminton negara, Nova Widianto yang mana kekangan dalam pembangunan beregu campuran adalah kekurangan pemain wanita.

Nova turut menerima pandangan bekas Olimpian negara, Chan Peng Soon yang menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memberi penekanan memperkukuhkan skuad beregu campuran.

Rentetan daripada itu, pemain perseorangan lelaki mahupun wanita yang gagal mempamerkan prestasi cemerlang diletakkan di acara beregu campuran sebagai pilihan.

“Apa yang dikatakan oleh Peng Soon adalah benar. Sudah tiba masanya kita menyiapkan pasangan campuran seterusnya untuk skuad negara. Namun, sejujurnya kami tidak mempunyai ramai pemain wanita.

“Dalam acara perseorangan wanita pun pemain kami amat terhad. Bagaimanapun kami masih mencari jalan untuk berusaha untuk membentuk dua hingga tiga pasangan campuran tambahan.

“Harapan saya cuma pemain senior tidak mengumumkan persaraan lebih awal bagi membolehkan Malaysia masih mempunyai pemain dalam kategori ini,” kata Nova.

Terdahulu, Peng Soon bersama pasangannya, Cheah Yee See mengambil keputusan untuk bersara dari sukan terbabit selepas tersingkir pusingan pertama Malaysia Masters 2024, minggu lalu.

Pemenang pingat perak Olimpik bersama Goh Liu Ying itu memberi satu mesej kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar jangan dijadikan bahagian beregu campuran sebagai tempat pembuangan pemain.

Dalam pada itu, Nova turut mendedahkan beliau terpaksa mendapatkan beberapa pemain untuk bersaing dalam pelbagai acara.

Choong Hon Jian dan Yap Roy King turut dipanggil untuk beregu lelaki bagi memperkukuhkan skuad beregu campuran.

Bagaimanapun, keletihan bukan menjadi kebimbangan Nova kerana pemain dibahagikan rutin latihan secara bersasar dalam pelbagai acara.

“Untuk pemain muda kami biarkan mereka bertanding dalam dua acara terlebih dahulu supaya mereka menimba banyak pengalaman.

“Saya beritahu Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan BAM). Kami membenarkan sesetengah pemain bertanding dalam dua acara. Namun jika ada yang pakar satu acara sahaja maka kami akan terus membangunkan mereka ke arah itu.

“Kalau kita lihat, Hon Jian dan Roy King. Kami bagi mereka bertanding dua acara dan saya membincangkan perkara itu terlebih dahulu kepada jurulatih mereka,” katanya.

Pada masa ini, hanya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia, manakala pasangan campuran lain dari kem negara ketinggalan dengan amat ketara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×