MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah sengaja ‘bermain api’ dengan cadangan membenarkan Ukraine menggunakan senjata Barat untuk menyerang jauh ke dalam negaranya.
Selepas lebih dua tahun mencetus perang darat paling dahsyat di Eropah, Putin semakin kerap menekankan tentang risiko konflik global yang lebih luas ketika Barat bergelut dengan apa yang perlu dilakukan mengenai kemaraan tentera Russia di Ukraine.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg memberitahu The Economist, ahli perikatan itu harus membiarkan Ukraine menyerang jauh ke Russia dengan senjata Barat, pandangan yang disokong oleh beberapa anggota NATO tetapi ditolak Amerika Syarikat (AS).
“Ketegangan berterusan boleh membawa kepada akibat yang serius. Sekiranya akibat serius ini berlaku di Eropah, bagaimanakah AS akan bertindak dengan mengambil kira persamaan kita dalam bidang senjata strategik?
“Sukar untuk dikatakan. Adakah mereka mahu konflik global?” kata Putin kepada pemberita di Tashkent.
Putin berkata, serangan ke atas Russia dengan senjata jarak jauh memerlukan satelit, perisikan dan bantuan ketenteraan Barat dan tindakan menghantar tentera Perancis ke Ukraine akan menjadi satu langkah ke arah konflik global.
Dalam pada itu, Putin turut memberi amaran kepada anggota NATO terutamanya negara-negara kecil di Eropah untuk menyedari apa yang cuba mereka lakukan jika menyokong cadangan itu.
“Mereka mempunyai kawasan darat yang kecil dan populasi yang sangat padat. Ini adalah faktor yang mereka harus ingat sebelum bercakap mengenai serangan jauh ke dalam wilayah Russia,” kata Putin.
Pencerobohan Russia pada 2022 ke atas Ukraine menyebabkan kemusnahan paling teruk dalam hubungan dengan Barat selama 60 tahun dan krisis itu semakin memuncak ke fasa paling berbahaya setakat ini.
Russia yang menguasai 18 peratus kawasan di Ukraine membuka barisan baharu di wilayah Kharkiv, mencetus perdebatan di Barat mengenai langkah seterusnya yang boleh dilakukan selepas memberikan bantuan senjata dan risikan bernilai ratusan bilion dolar kepada Kyiv .
Pegawai Russia berkata, kesabaran Moscow semakin tercabar selepas serangan berulang kali ke atas bandar-bandar, kilang penapisan minyak dan unsur-unsur sistem amaran awal nuklearnya.-REUTERS









