Semakan ditolak, banduan akhir kekal hukuman mati bunuh anak kandung 22 bulan

Semakan ditolak, banduan akhir kekal hukuman mati bunuh anak kandung 22 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir kekal menjalani hukuman mati kerana membunuh anak kandung perempuan berusia 22 bulan, 15 tahun lalu, selepas permohonan semakannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan demikian terhadap Mohd. Nizam Mohamad, 45.

Pemohon disabitkan membunuh kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia setahun 10 bulan di antara pukul 9 pagi, 23 November 2009 dan 12 tengah hari, keesokan hari di sebuah rumah di Repoh, Kangar, Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada prosiding itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Mohd. Nizam berhujah agar mahkamah mempertimbang bahawa anak guamnya menghidap penyakit mental dan memerlukan rawatan berterusan.

Ketika ditanya oleh panel tersebut sama ada pemohon menghidap penyakit itu ketika melakukan perbuatan tersebut, Naran tidak dapat mengesahkannya kerana tiada rekod berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail berhujah agar hukuman mati dikekalkan kerana pemohon selaku bapa kandung bertindak demikian terhadap mangsa yang tidak berdaya.

“Mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan kerana dipukul malah mukanya turut digigit oleh lelaki tersebut,” hujah beliau.

Solehah Noratikah turut berhujah, pemohon turut mengugut untuk membunuh isteri dan kakak isterinya jika kejadian itu diketahui orang lain.

Hujah pendakwaan, Mohd. Nizam merupakan penjenayah tegar dan pernah ditahan kerana penagihan dadah dan dia berpeluang untuk berubah ketika bebas daripada tahanan, sebaliknya memilih untuk melakukan jenayah dengan membunuh anak kandung.

Naratif kes pendakwaan menyatakan, mangsa pada awalnya dibawa ke klinik oleh ibunya kerana mengalami demam panas dan berada dalam keadaan tidak bermaya.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa balik ke rumah sebelum seorang jiran mendapati kaki dan tangannya sejuk dan selanjutnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dirawat namun meninggal dunia ketika tiba di sana.

Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan kesan lebam pada kulit kepala, dahi, kesan melecet pada pipi kanan yang berpadanan dengan corak gigitan serta lebam pada paha kanan. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×