KUALA LUMPUR: Seramai 21 ahli kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng TR dan aktif di tiga buah negeri ditahan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua suspek ditangkap pada 3 Mei lalu melalui Operasi Khas Lima oleh bahagian jenayah terancang D14 Bukit Aman.
“Pada tangkapan pertama, seramai 18 suspek ditahan di lokap berpusat Shah Alam, Selangor. Tiga lagi suspek ditahan reman di penjara Sungai Buloh. Operasi tersebut turut dibantu oleh bahagian pencegah maksiat, judi dan kongsi gelap D7,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, mereka ditahan reman selama 28 hari sejak 3 Mei lalu dan dituduh di mahkamah semalam.
Katanya, seorang daripada suspek bagaimanapun tidak dapat dihadapkan ke mahkamah kerana menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut beliau, Geng TR terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap 08, 18,21,24 dan 36 yang bergiat aktif di Selangor, Pahang serta Johor.
“Mereka ini aktif dengan jenayah kekerasan, pembunuhan dan pengedaran dadah sejak 2019,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – UTUSAN










