Terapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi - BNM

Terapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi – BNM

ABDUL RASHEED GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan untuk menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan struktur ekonomi dan kemampanan serta memajukan inovasi dalam perdagangan dan wakaf.

Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata iaitu pertumbuhan yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif. 

Katanya, penerapan prinsip syariah sebagai panduan pembangunan adalah selari dengan tahap pembangunan masyarakat yang paling maju semasa tamadun Islam.

“Hal ini dapat dilihat melalui tahap kemiskinan yang berkurang dan kemakmuran ekonomi yang mantap,” katanya. 

“Kami mengharapkan usaha yang akan menyokong cadangan ini termasuk penglibatan lebih erat dengan institusi dan pelabur pelbagai hala serta inisiatif dalam meningkatkan persekitaran kawal selia untuk memudahkan penggunaan pelbagai kontrak syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperkukuh integrasi global untuk mendorong pembangunan ekonomi dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut Abdul Rasheed, terdapat pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global.

“Perdagangan global dijangka semakin kukuh, inflasi semakin berkurang dan keadaan pasaran pekerja yang positif terus menyokong pertumbuhan global.

“Bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus kekal apabila ancaman ketegangan geopolitik yang kian meruncing dan masih berlarutan. Inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menyumbang kepada pasaran kewangan global yang kian tidak menentu,” katanya. 

Abdul Rasheed berkata, krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara dan keadaan ini bukan hanya mengganggu gugat dunia kita secara fizikal, malah turut mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai. 

“Terdapat anggaran bahawa jika tiada tindakan mitigasi yang diambil, perubahan iklim mampu mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global hingga 18 peratus menjelang 2050,” katanya. 

Tambah beliau, rintangan ini pasti akan memburukkan lagi ketaksamaan ekonomi, sekali gus melebarkan lagi jurang ekonomi bukan sahaja dalam sesebuah negara malah antara pelbagai negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×