RATUSAN kereta berhias dengan kilauan lampu mempesona menarik perhatian ribuan pengunjung pada Malam Citra Warna Kuala Perlis dan Festival Rakyat yang diadakan di Dataran Lok 9, Kuala Perlis baru-baru ini.
Selain kereta antik, lori cantik, motosikal retro dan van vintaj, orang ramai turut disajikan dengan pertunjukkan bunga api.
Malah, pelbagai aktiviti menarik lain diadakan dalam acara julung kali dari 24 Mei sehingga 2 Jun itu antaranya himpunan Melayu berbusana, sukan rakyat, silat, Perlis Open Fight Night 2024, persembahan kebudayaan, wayang kulit, Iron Man Kuala Perlis dan gerai jualan.
Program hasil cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan dibantu Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan itu juga membantu mempromosi dan menjayakan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Lebih istimewa, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan merasmikan festival berkenaan.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Program anjuran ADUN Kuala Perlis dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENP) dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri serta Jabatan Belia dan Sukan negeri itu juga menarik kunjungan pelancong dari luar khususnya bersempena musim cuti sekolah.
Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya menyeru semua pihak memberikan layanan mesra, bertutur dengan nada dan bahasa sopan serta menyantuni para pelancong terutama sekali sepanjang kempen TMPs 2024/2025.
“Semua pihak juga perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan kebersihan Kuala Perlis sentiasa di tahap terbaik khususnya di tempat-tempat awam seperti jeti, stesen bas dan teksi, tandas-tandas, masjid, kawasan-kawasan pelancongan serta premis-premis perniagaan terutama restoran dan gerai.
“Pengusaha-pengusaha makanan, kraftangan dan produk-produk nelayan di Kuala Perlis juga perlu mengambil pendekatan lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan lagi pengeluaran masing-masing sebagai buah tangan pelancong dan kenangan manis untuk dibawa pulang,” titah baginda.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, pelbagai aktiviti dan acara telah disusun sepanjang 10 hari festival berlangsung.
Katanya, festival berkenaan mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja daripada penduduk tempatan malah pengunjung seluruh negara khususnya bersempena cuti sekolah.
“Ia diserikan dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian, perarakan kanak-kanak dan Melayu berbusana serta kereta berhias yang membabitkan sebanyak 21 kontinjen daripada agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Tambah Abu Bakar, penganjuran festival itu bertepatan dengan inisiatif Eyes of Kuala Perlis bagi membantu mempromosi dan menjayakan TMPs 2024/2025 ini.
“Alhamdulilah, program-program yang dirancang dalam menjayakan Eyes of Kuala Perlis itu berjaya direalisasikan sekali gus merancakkan TMPs,” katanya.
Sebagai rekod, usaha Abu Bakar memperkenalkan Eyes of Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini yang bakal menjadi mercu tanda baharu di Kuala Perlis itu sekali gus berupaya menarik lebih ramai pengunjung bersempena TMPs.
Lokasi berkenaan menjadi tapak kepada pelbagai program yang bakal dianjurkan sepanjang TMPs khususnya dalam mempromosikan aspek kebudayaan, perhotelan, kedai makanan dan pelbagai lagi buat masyarakat khususnya pengunjung luar.











