SEREMBAN: Kesediaan UMNO untuk menerima semula bekas pemimpin dan ahli yang telah dipecat sebelum ini bukan amalan baharu tetapi proses biasa yang dilakukan oleh parti terbesar orang Melayu itu sejak sekian lama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia bukan satu bentuk tawaran kepada orang tertentu sebaliknya mereka yang berkenaan perlu membuat permohonan kepada UMNO.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, MKT akan membuat pertimbangan untuk setiap permohonan itu mengikut perlembagaan, garis panduan dan peraturan parti.
“Adalah tidak benar UMNO terdesak untuk mendapatkan semula ahli-ahli yang telah meninggalkan parti.
“Kesediaan ini juga tidak ditujukan kepada orang tertentu seperti (bekas Ketua Penerangan UMNO) Isham Jalil yang mungkin rasa dia istimewa dan tawaran ini adalah untuk dia,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Seminar Memacu Malaysia Vision Valley (MVV) Ke Arah Bandar Pintar dan Rendah Karbon di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Isham dalam sebuah portal bahawa UMNO kini terdesak dan menawarkan kepada pemimpin dan ahli parti yang dipecat untuk kembali semula ke pangkuan parti itu.
Menurut Isham, beliau tidak akan menyertai semula UMNO dan mendakwa tiada ahli yang dipecat mahu kembali kepada parti itu.
Sebelum itu, Jalaluddin dilaporkan berkata, parti itu bersedia menerima semula bekas pemimpin dan ahli UMNO yang telah dipecat sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Isham itu, Jalaluddin menempelak bekas Ketua Penerangan UMNO itu dengan satu peribahasa Melayu.
“Beritahu (peribahasa Melayu) ini kepada Isham, `pinggan tak retak nasi tak dingin’, awak tak hendak saya lagi tak ingin,” ujarnya.











