JEMPOL: Seorang penunggang motosikal maut selepas 11 hari bertarung nyawa di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah akibat kecederaan parah dialami dalam kemalangan di kilometer 20 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini, 17 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan kira-kira pukul 1.15 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan motosikal ditunggang mangsa berusia 18 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu MPV iaitu lelaki berumur 44 tahun dari arah Kuala Pilah menuju ke Simpang Pertang, sebaik tiba dilokasi telah memperlahankan kenderaan.
“Dalam pada masa datang penunggang motosikal telah melanggar dari arah belakang, sebelah kiri MPV terbabit.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan awal di Hospital Jempol manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kata Chang Hook lagi, penunggang motosikal bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN kira-kira pukul 8.20 malam semalam.
Menurutnya, siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan PenguatkuasaanTrafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof,di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan. – UTUSAN









