KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan beliau mengetahui mengenai titah adendum (titah tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah melalui Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Perkara tersebut kemudian telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada satu pertemuan di rumah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pada 30 Januari lalu.
Turut ada pada pertemuan itu adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya serta Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga MKT UMNO dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
“Saya telah melaporkan apa yang telah dimaklumkan oleh Tengku Zafrul tentang kewujudan titah adendum tersebut dan Datuk Seri Ahmad Zahid memberitahu saya beliau telah pun diberitahu hal tersebut oleh Tengku Zafrul pada hari yang sama.
“Beliau juga menyatakan telah membaca perintah adendum tersebut dari Tengku Zafrul,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Wan Rosdy dalam afidavitnya bagi menyokong permohonan semakan kehakiman Najib berhubung kewujudan titah adendum (tambahan) yang memerintahkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Afidavit sokongan Wan Rosdy itu difailkan pada 21 Mei lalu melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. di Mahkamah Tinggi di sini.
Sementara itu, semakan pada sistem mahkamah mendapati, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan bantahan terhadap pemfailan afidavit sokongan Wan Rosdy itu melalui sepucuk surat bertarikh 23 Mei lalu atas alasan ia dibuat terlalu lewat.
“Permohonan tersebut dibuat terlampau lewat setelah pihak pemohon (Najib) dan pihak Peguam Negara memfailkan hujahan bertulis dan berhujah secara lisan di Mahkamah pada 17 April lalu. Mahkamah ini juga telah menolak permohonan kebenaran untuk memasukkan afidavit Tengku Zafrul.
“Mahkamah (juga) telah menetapkan tarikh keputusan bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman ini pada 5 Jun ini. Secara keseluruhannya, permohonan tersebut (afidavit sokongan Wan Rosdy) terjumlah kepada satu tindakan untuk memintas bantahan-bantahan yang telah dibangkitkan oleh pihak Peguam Negara (sebelum ini),”kata surat terbabit.
Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Tengku Zafrul untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan ‘kesilapan fakta’ berhubung permohonan Najib berkaitan perintah menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
Bagaimanapun Tengku Zafrul boleh memohon semula afidavit berkenaan sekiranya Najib berjaya beroleh kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit yang difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu. – UTUSAN










