Saya perlu angkat 350kg untuk pingat Olimpik - Aniq

Saya perlu angkat 350kg untuk pingat Olimpik – Aniq

ANIQ Kasdan akan bertanding dalam kategori baharu selepas perubahan dilakukan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan akan menyertai latihan intensif di Turkiye sebagai persiapan terakhirnya ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkata, latihan kali ini lebih berat tetapi dia terlebih dahulu akan berlatih di Pahang sebelum bertandang ke Turkiye.

“Berdebar itu ada sebab ini pertandingan paling besar dalam dunia. Jadi kena siapkan mental.

“Pergi ke Turkiye ini adalah untuk memastikan badan saya selesa dengan cuaca yang sama dengan Paris,” kata Aniq pada majlis ramah mesra dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpiik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin di sini, semalam.

Walau bagaimanapun, Aniq menegaskan, lawatan itu adalah sebagai latihan dan tidak melibatkan pertandingan serta fokus pada persiapan menyeluruh, termasuk pemakanan, latihan dan pemulihan.

“Tiada pertandingan atau kejohanan yang diadakan di Turkiye, cuma kita nak bersiap sedia dengan lebih rapi untuk temasya Olimpik yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aniq menyatakan tekadnya untuk mencapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun umum mengetahui ia misi yang agak sukar buatnya.

“Saya sasar nombor satu. Sebab ia boleh buat saya lebih bersemangat lagi untuk berusaha dengan apa yang kita sasarkan,” katanya dengan keyakinan.

Semasa di Birmingham, Aniq berjaya membuat angkatan keseluruhan 249kg untuk snatch dan clean & jerk sekali gus membolehkan dia memenangi pingat emas pertama buat kontinjen negara dan mencatat rekod baharu temasya bagi kategori 55kg.

Aniq yang bertubuh kecil berkata, dia sebelum ini berjaya membuat angkatan keseluruhan 300kg dan berhasrat untuk memperbaiki catatan itu bagi membolehkannya bersaing untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik.

“Sekurang-kurangnya perlu keseluruhan angkatan 305kg untuk dapatkan pingat, jadi saya perlu cuba untuk pecahkan rekod,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×