PETALING JAYA: Di sebalik keraguan kem badminton negara yang belum menterjemahkan prestasi terbaik semasa Malaysia Masters 2024 yang berakhir kelmarin, kini Malaysia mengharapkan tuah undian memihak menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Prestasi kem badminton negara di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih samar berikutan gagal ke peringkat akhir biarpun bertanding sebagai pemain tuan rumah dan kebanyakan peserta dari negara lain rata-rata bukan daripada kelompok terbaik dunia.
Tiga beregu negara menerusi Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di peringkat separuh akhir manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di suku akhir kepada lawan yang ranking lebih rendah dan bukan taraf mereka.
Bagaimanapun, ketua kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin masih mempunyai keyakinan atlet badminton mampu melakar kejutan pada temasya empat tahun sekali itu.
Menurut Hamidin, beliau bersependapat bersama Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bahawa tuah sukan badminton meraih pingat hanya akan terjawab ketika undian menjelang Olimpik Paris bermula.
“Kita akan lihat nasib undian atlet badminton nanti. Undian itu menjadi perkara mustahak tidak kira acara apa pun. Kalau kita lihat pemain-pemain ini pernah menewaskan pemain ternama di kejohanan antarabangsa.
“Bagi saya badminton masih dalam landasan akan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir di Paris nanti. Tidak semestinya jika mereka juara di kejohanan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mereka boleh menandingi kehebatan lawan di Olimpik.
“Saya yakin badminton ini mampu membawa pulang pingat untuk negara. Kita dapat lihat Zii Jia mampu bangkit dari prestasinya yang kurang memuaskan sehingga menjuarai Terbuka Thailand 2024,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra CDM Paris 2024 bersama atlet, di sini, hari ini.
Pemain negara yang sudahpun mengesahkan slot ke Olimpik Paris adalah Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Terdahulu, saingan Malaysia Masters 2024 menyaksikan, Aaron-Wooi Yik gagal menemui jalan kemenangan apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan ranking 34 dunia, Jin Yung-Na Sung Seung.
Selain itu, Tang Jie-Ee Wei turut terkandas di suku akhir apabila tewas kepada pasangan profesional negara yang juga juara Malaysia Masters 2024, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie.
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly-Thinaah turut tewas mengejut kepada pasangan Korea Selatan yang menghuni di ranking 26 dunia, Lim Yu Lim-Shin Seung Chan. – UTUSAN










