SEREMBAN: Dua premis tidak bernama di Kampung Ribu, Kuala Sawah, di Rantau, hari ini digempur sembilan agensi berikutan dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih tiga tahun lalu serta mencemarkan Sungai Linggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat kesan pencemaran air hasil limpahan sisa bahan kitar semula plastik atau logam di sekitar kawasan premis.
Menurut beliau, kegiatan haram peleburan sisa kitar semula berkenaan yang beroperasi di tanah pertanian didapati tidak mengikut prosedur sejak tahun 2021.
“Aktiviti ini dijalankan di lokasi tersorok dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.
“Sisa air tercemar juga didapati dilepas terus masuk ke aliran Sungai Linggi dan mencemari sumber air sungai tersebut yang merupakan sumber tadahan air kepada penduduk di Port Dickson dan sebahagiannya di daerah Seremban,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Operasi Bersepadu (Ops Toksik III), di Kampung Ribu, Kuala Sawah di Rantau, hari ini.
Jelas Aminuddin lagi, dalam operasi berkenaan juga, beberapa pekerja asing telah cuba melarikan diri, namun 15 daripadanya telah berjaya ditahan di ladang kelapa sawit berhampiran lokasi serbuan.
“Turut dirampas wang tunai bercampur-campur berjumlah RM 2,166.20. Dalam operasi ini juga terdapat sembilan kesalahan utama dikesan antaranya membabitkan Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu masing-masing membabitkan kegagalan mengemukakan laporan Environment Impact Assesment (EIA) bagi aktiviti pelupusan atau pengendalian sisa buangan serta menjalankan kegiatan pelupusan sisa secara haram.
Dalam pada itu, beliau juga mengambil maklum teguran netizen di media sosial yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan berikutan operasi haram di lokasi yang diserbu sudah pun bertahun-tahun beroperasi.
“Betul, saya setuju. Saya berharap ini tidak berulang lagi dan saya minta supaya mereka (penjawat awam) yang bertanggungjawab menjaga kawasan ini dikeluarkan surat tunjuk sebab… (tindakan) seolah-olah macam tak ada berlaku apa-apa, selesa dalam keadaan yang ada walaupun (premis) melanggar peraturan,” katanya.











