Naqeeb Yusuf mahu jadi pakar kulit, solat hajat rahsia kejayaan SPM

Dekat dengan guru, ilmu lebih mudah ‘lekat’

NAQEEB Yusuf dan Aisyah yang memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam SPM 2023 sekali gus muncul sebagai pelajar terbaik di Negeri Sembilan. FOTO : NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Negeri Sembilan yang memperoleh keputusan cemerlang menekankan aspek kerohanian sebagai rahsia kejayaan mereka.

Naqeeb Yusuf Yasni, 18 dan Aisyah Ahmad Hawari, 18 yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said, Seremban muncul calon terbaik SPM 2023 selepas masing-masing memperoleh keputusan 11A+.

Naqeeb Yusuf yang bercita-cita menjadi doktor pakar kulit berkata, beliau bersyukur dengan keputusan SPM yang diperolehinya berkat doa dari ibu bapa dan guru-guru selain melakukan solat hajat dan bacaan Yassin setiap minggu.

“Rahsia terbesar kejayaan saya adalah menghormati guru, apabila saya dekat dengan guru, ilmu lebih mudah ‘lekat’.

“Belajar ini perlu ikhlas, bukan sekadar hendak dapatkan semua A tetapi aspek kerohanian juga penting.

“Setiap kali selepas solat jumaat, pelajar SPM ‘batch’ kami akan adakan solat hajat dan bacaan yassin beramai-ramai, selepas kita berusaha bersungguh-sungguh, kita bertawakal kepada Allah,” katanya ketika ditemui di SMKA Sheikh Haji Mohd. Said di sini semalam.

Menurut Naqeeb Yusuf, dia bercita-cita menjadi doktor pakar kulit disebabkan masalah jerawat yang dialami sebelum ini walaupun merupakan pelajar aliran agama.

“Saya telah melanjutkan pelajaran dalam bidang asasi perubatan di Kolej Universiti Manipal Malaysia setelah mendapat tajaan hasil inisiatif ibu bapa saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Aisyah pula berkata, dia mengamalkan doa khas setiap kali selepas belajar selain membaca Yassin dan Al-Mathurat yang dapat membantunya belajar dengan lebih tenang.

“Kalau rasa resah, saya akan buat solat hajat memohon bantuan daripada Allah dan ia membuatkan saya lebih tenang untuk belajar.

“Selepas ini, jika diberi peluang saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer kerana saya meminati bidang teknikal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×