Dunia terus ‘hukum’ Myanmar - Utusan Malaysia

Dunia terus ‘hukum’ Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Lebih 500 penduduk termasuk kanak-kanak menjadi mangsa tindakan kekerasan junta tentera Myanmar sejak siri protes membantah rampasan kuasa berlangsung pada Februari lalu.

Jumlah korban itu terus bertambah ketika kuasa dunia meningkatkan tekanan terhadap barisan pemimpin ketenteraan negara ini.

Washington menggantung semua perjanjian perdagangan dengan Myanmar dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa komuniti antarabangsa ‘melakukan desakan berterusan’.

“Adalah sangat tidak boleh diterima melihat keganasan berlaku dan menyebabkan banyak kematian.

“Kita perlukan perpaduan yang meluas dan lebih komitmen daripada komuniti antarabangsa untuk menekan Myanmar agar situasi kembali reda,” kata Guterres.

Dalam pada itu, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) mengesahkan seramai 510 penduduk awam terbunuh dan memberi amaran angka korban sebenarnya mungkin lebih tinggi.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam mengumumkan Persetujuan Rangka Kerja Pelaburan dan Perdagangan 2013 dengan Myanmar akan digantung sehingga demokrasi ‘dikembalikan ke negara ini’.

“AS secara lantang mengutuk tindakan kekerasan junta Myanmar terhadap penduduk awam,” ujar wakil sektor perdagangan AS, Katherine Tai.

Selain itu, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan situasi di Myanmar.

Mesyuarat itu diadakan selepas Britain mendesak rundingan kecemasan perlu diadakan segera.

Perancis turut menyertai beberapa kuasa dunia menyelar Myanmar, selain Rusia dan China melahirkan kebimbangan dengan peningkatan jumlah kematian penduduk. – AFP

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×