Guna AI wajah penceramah terkenal jual produk palsu

Guna AI wajah penceramah terkenal jual produk palsu

RAMLI Mohamed Yoosuf menunjukkan produk mata palsu dipercayai daripada China ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan klip video memaparkan seorang pakar mata yang juga penceramah terkenal dijana menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempromosi produk kesihatan mata. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu bagaimanapun hanya diketahui pengadu apabila dia dihubungi oleh individu lain bagi mendapatkan pengesahan produk yang diiklankan di media sosial. 

“Pengadu seterusnya mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya. 

“Penggunaan tanpa kebenaran gambar dan video pengadu sebagai bahan promosi produk tersebut bagi memperdaya orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini. 

Menurut Ramli, empat serbuan dilakukan di sekitar Shah Alam pada 21 dan 22 Mei bagi menangkap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan produk kesihatan palsu menggunakan gambar serta video milik seorang individu terkenal tanpa kebenaran. 

“Tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 30 dan 38 tahun telah ditahan. 

“Dua daripada yang ditahan adalah pengarah syarikat manakala baki dua yang lain adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan yang disyaki terlibat dengan penjualan produk kesihatan palsu,” katanya. 

Jelas beliau, turut dirampas adalah 18 kotak produk mata pelbagai jenama, satu kotak kosong produk mata, empat bungkusan produk rawatan pelbagai jenama, satu monitor, satu komputer riba dan satu telefon bimbit. 

“Pada 24 Mei, tiga lagi individu telah ditahan iaitu seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Vietnam melalui serbuan susulan yang dijalankan sekitar Klang, Selangor. 

“Kesemua yang ditahan berusia 33 hingga 51 tahun. Turut dirampas enam kotak produk rawatan mata, satu kotak cermin mata, satu unit pencetak, satu pencetak label, dua gulung kertas pencetak san tiga telefon,” katanya. 

Menurutnya, empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua individu warga asing yang ditahan dalam serbuan susulan direman  dua hari. 

“Seorang lagi individu warga tempatan (dari serbuan susulan) direman tiga hari sehingga hari ini. 

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×