ISKANDAR PUTERI: Pelancaran fasiliti Pusat Data Equinix JHB 1, pengusaha pusat data terbesar di dunia, menjadi penanda aras kepada lebih banyak syarikat untuk membuat pelaburan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, 10 pusat data dalam pembangunan manakala 13 lagi pusat data dalam peringkat perbincangan dan perancangan.
Katanya, selain menarik pemain industri global, kehadiran Equinix di sini juga akan membantu merangsang pembangunan kelompok industri berasaskan teknologi yang lain.
“Sejak dua tahun lalu, Johor menyaksikan pembangunan pesat industri pusat data dengan lapan pusat data telah beroperasi dan Equinix adalah satu daripadanya.
“Banyak lagi syarikat berhasrat untuk membuka pusat data di negeri ini dan kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan akan membantu dari segi perancangan, pemeriksaan dan pematuhan syarat kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Data Equinix JHB1 di Taman Teknologi Nusajaya (NTP), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn.
Ting Han berkata, operasi Pusat Data Equinix tersebut menggunakan tenaga boleh baharu (RE) sepenuhnya dan ia merupakan langkah positif yang disambut baik kerajaan negeri.
Melihat perkembangan industri pusat data di negeri ini, Ting Han berkata, kerajaan negeri perlu menggunakan peluang itu untuk menyediakan tenaga mahir yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan sektor tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan antara pemain industri untuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan bakat diperlukan.
“Industri ini baharu, maka kita perlu bekerjasama dengan pihak industri bagi menyediakan tenaga mahir yang diperlukan untuk meneroka peluang pekerjaan baharu ini,” katanya. – UTUSAN










