Pemberian kontrak kepada suami Hannah tiada kesalahan - SPRM

Pemberian kontrak projek DRT kepada suami Hannah tiada kesalahan – SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang bentuk kesalahan terhadap pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT)  oleh kerajaan Selangor kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemberian kontrak itu dilihat tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hannah kerana ia adalah kontrak kerajaan negeri Selangor.

“Melainkan Kementerian Belia dan Sukan memberi projek kepada suami Hannah. Itu lain cerita.

“Saya ingin menjelaskan daripada segi undang-undang sedikit, sekiranya seseorang itu mendapat kontrak atau apa-apa manfaat daripada entiti kerajaan yang tiada kena mengena dengan tugas mereka itu bukan satu kesalahan,” katanya.

Beliu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

Mengulas lebih lanjut, Azam menjelaskan beliau tidak mengetahui lanjut mengenai dakwaan yang dibangkitkan itu.

“Tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan,” jelasnya.

Kata beliau, berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak ada kena mengena dengan Hannah

“Jadi setakat ini kita tidak nampak apa apa kesalahan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Exco Selangor, Ng Sze Han menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, ialah salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility  Ramachandran Muniandy ialah suami Hannah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×