PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak yakin beliau tahu apa yang perlu dibuat dalam melaksanakan penyasaran subsidi.
Kebimbangan itu dikongsikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan, petang ini, selepas rata-rata rakyat di media sosial dilihat kesal dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai penyasaran subsidi diesel yang kemudian akan disusuli dengan petrol RON95.
Menurut beliau, ramai yang mempersoalkan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup dan ia suatu kebimbangan yang berasas.
“Kerajaan baharu sahaja melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik pada Januari 2024, cukai barang bernilai rendah pada Januari 2024, kenaikan tarif air pada Februari 2024 dan kenaikan cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada Mac 2024.
“Semua ini ibarat beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa. Apabila subsidi diesel dan kemudian RON 95 ditarik balik, kesannya akan menjadi lebih teruk.
“Sebab itu, saya menggesa kerajaan pada bulan Mac yang lalu supaya menangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi kerana memikirkan kebajikan rakyat. Dengarlah keluhan rakyat.
“Nampaknya, Perdana Menteri tidak prihatin terhadap keluhan rakyat dengan meneruskan juga pelaksanaan rasionalisasi subsidi ketika rakyat sedang susah,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api ke atas diesel terlebih dahulu sebelum disusuli dengan petrol RON95.
Beliau berkata, penyasaran subsidi diesel itu hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia dan langkah itu membantu kerajaan melakukan penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tiada penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas oleh kerajaan akibat penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 itu lebih mengecewakan.
“Yang diumumkan ialah bantuan akan diberikan kepada beberapa golongan pemilik kenderaan tertentu. Berapa ramai yang akan menerima bantuan dan berapa nilai bantuan tidak dijelaskan dengan terperinci.
“Bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel dan RON 95 ke atas seluruh rantaian bekalan? Apakah langkah-langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya? Hal ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau menambah, Anwar juga tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana hasil penjimatan penarikan subsidi RM4 bilion itu akan dibelanjakan oleh kerajaan.
Katanya, Perdana Menteri turut tidak menjelaskan secara terperinci berapa banyak nilai bantuan yang akan dinaikkan untuk manfaat rakyat dan siapa yang akan menerimanya susulan penjimatan itu.
“Sepatutnya Perdana Menteri dalam perutusannya memberikan penjelasan secara terperinci mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Rakyat ingin tahu apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil penjimatan subsidi,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata,angka-angka ekonomi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat di bawah.
“Rata-rata rakyat masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup.
“Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 tidak ditangani dengan cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak.
“Berdasarkan apa yang diucap oleh Perdana Menteri dalam perutusannya, saya tidak yakin beliau tahu apa yang perlu dibuat,” katanya. – UTUSAN










