TEATER bukan bermakna persembahan lakonan di hadapan audien sahaja. Teater adalah seluruh proses yang harus berlaku iaitu bermula daripada proses pemikiran penulis menyiapkan skrip sehingga kepada persembahan lakonan tersebut.
Bukan setakat itu, ia merangkumi segala masalah yang terdapat dalam proses tersebut termasuk bagaimana mendapatkan pelakon, mendapatkan peruntukan, memahami skrip, menarik minat penonton, teknikal, promosi, tempat latihan dan sebagainya.
Semuanya ini menjadi tanggungjawab orang teater dan mereka kena bertungkus lumus melalui semua proses itu sebelum persembahan.
Begitu juga dengan penganjuran Festival Teater Kanak-Kanak Negeri Kelantan 2024 yang akan diadakan pertengahan Ogos ini.
Sebelum ia dipertontonkan, ada proses yang perlu dilaluinya iaitu penerangan tentang konsep dan ciri teater kanak-kanak itu kepada peserta.

Justeru baru-baru ini, dianjurkan Bengkel Teater Kanak-kanak Negeri Kelantan 2024 yang telah membuka peluang kepada peserta untuk mempelajari aspek pengurusan, pelaksanaan dan pementasan teater daripada golongan profesional serta mencungkil bakat-bakat muda untuk diketengahkan sebagai usaha untuk menyemarakkan semula pementasan teater di Kelantan.
Bengkel anjuran Pertubuhan Majlis Teater Kelantan (TEMA Kelantan) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Mei lalu bertempat di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu.
Majlis perasmian penutupan dilakukan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd. Asri Mohd. Zawawi.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar bengkel ini menjadi impak dalam meningkatkan kualiti serta pencapaian JPN Kelantan dalam pertandingan teater di peringkat kebangsaan.
“Sesungguhnya, bidang teater ini merupakan medan atau platform dalam membentuk sahsiah diri para peserta serta sebagai medan dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan peserta,” tambah beliau.
Menurut beliau, teater juga amat bersesuaian sebagai salah satu bidang dalam memastikan pembentukan jati diri para guru yang kukuh serta berkeyakinan tinggi.
Pembentukan sikap ini, harus berlandaskan prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar berjaya mencapai karamah insaniah.
Bengkel yang dihadiri oleh 40 peserta dari seluruh PPD di Kelantan itu terdiri daripada guru-guru yang akan menjadi penyelaras kepada Festival Teater Kanak-Kanak anjuran TEMA Kelantan dan JPN Kelantan nanti.
Pembimbing dan penceramah yang telah mengendalikan bengkel tersebut adalah pengadil peringkat Kebangsaan Pertandingan Teater Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah (SM) Kementerian Pendidikan, Abdul
Mubin Ismail. Beliau telah memberi ceramah tentang Teater SK dan SM dalam Festival Kesenian KPM.

Sementara saya sendiri, memberi penerangan yang terperinci mengenai pengurusan pentas.
Seorang pengarah dan penulis teater kanak-kanak, Azmizi Zakaria telah menjadi pembimbing utama bengkel tersebut dan mengendalikan bengkel serta memberi penerangan tentang konsep dan ciri-ciri teater kanak-kanak.
Di akhir acara peserta telah berjaya mempersembahan teater kanak-kanak kepada tetamu yang hadir pada hari itu.
Zainal Abidin Muhamad ialah Naib Presiden, Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan. – UTUSAN










