Tunggu laporan JK Kompitensi DUN gubal undang-undang Islam

Tunggu laporan JK Kompitensi DUN gubal undang-undang Islam

ZULKIFLI Hassan (kanan) menerima Resolusi Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sedang menunggu laporan kajian Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hassan berkata, pihaknya sudah menerima beberapa laporan dan dapatan awal namun ia akan dimurnikan terlebih dahulu.

“Jawatankuasa tersebut sudah bersidang dan akan menyediakan laporan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Dewan Sri Tunjong Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan membantu usaha Kerajaan Negeri Kelantan menggubal semula 16 peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan yang terbatal beliau berkata, kerajaan sudahpun melaksanakan inisiatif itu melalui jawatankuasa khas berkenaan.

“Jawatankuasa itu mengkaji keseluruhan dan bukan tertumpu kepada satu aspek sahaja. Ia sepatutnya menyediakan satu cadangan penyelesaian menyeluruh dan buat masa ini kita fokus kepada perkara itu dahulu.

“Namun begitu sekiranya ada usaha-usaha lain kita bersedia untuk melihat aspek-aspek berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli memberitahu, Kerajaan Persekutuan komited dalam urusan berkaitan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×