SEBUAH filem yang baik akan membuat kita membawa sesuatu, terfikir- fikir walaupun selepas layar ditutup.
Paling tidak, itu pandangan yang pernah diberikan legenda Kiarostami membuatkannya begitu berhati-hati meletakkan makna pada setiap filem.
Saya mendapatkan itu; rasa dan kiran sewaktu menonton Makmum, barangkali naskhah pembuka untuk saya mengenali lebih banyak air tangan Hadrah Daeng Ratu.
Selepas Sijjin, saya berpeluang menonton Menjelang Ajal sebuah karya seram Daeng Ratu yang baharu (kerana filem romantis arahannya tidak kena dengan selera saya).
Gagasan yang dibawa Menjelang Ajal tidak terlalu kaku dan asing walaupun ketika dunia sibuk membincangkan Neorealisme dan teori kemodenan yang serba canggih.

Kita harus akui dalam masyarakat, masih terikat satu kepercayaan diwarisi keturunan bahawa mereka harus ‘membela’ makhluk, memujanya jika mahu kaya.
Bukan sedikit kes restoran viral, namun apabila diselidiki, rupanya diletak coli atau stoking di dalam kuali kerana ia sebahagian proses pemujaan.
Menjelang Ajal menceritakan itu, restoran milik Sekar (Shareefa Daanish) tiba-tiba berubah wajah, makanan basi dan bisnesnya merosot.
Makhluk yang dipujanya sedang tidak gembira membuatkan satu demi satu misteri dirungkaikan sepanjang filem ini.
Seperti naskhah seram Ratu yang lain, saya terpesona dengan solekan dan bagaimana mereka sangat berdisiplin menjaga props, menghidupkan mise en scene yang sepadan dengan zaman.
Selain itu, saya harus mengatakan Daanish sangat menjadi membawakan watak perempuan dirasuk bahkan mungkin menjadi penguat mengapa saya berjaya menghabiskan filem ini sampai ke akhirnya.

Dialah pelaris dalam filem ini. Namun begitu, saya berpendapat, ada beberapa bahagian dalam filem ini yang sebenarnya agak ‘eh’, dan tiba-tiba.
Saya harus akui, pada awalnya saya merasakan penampilan anak sulung dalam cerita ini agak canggung mungkin kerana dua perkara, Daanish kelihatan terlalu muda untuk menjadi emak kepadanya, atau penampilannya dengan anak kedua nampak seperti kekasih atau kawan berbanding seorang abang. Namun ketika filem bergerak, barulah keserasian mereka nampak elok dilayar.
Selain itu, babak melibatkan anak perempuannya berkenalan dengan seorang lelaki sehingga hampir dirogol menimbulkan rasa aneh kepada saya kerana tidak nampak apakah katarsis itu penting untuk menyokong keseluruhan jalan cerita?
Paling mustahak mungkin act 3 naskhah ini, tumpuan Ratu seakan terganggu sehingga naratifnya mula bercempera. Hantu yang boleh terbang dan membunuh lawan tiba-tiba hanya berlari-lari.
Juga kedatangan segerombolan manusia yang duduk dan membacakan ayat al Quran di rumah seorang ustaz untuk bahagian perleraian.
Apapun, saya tetap merasakan Daeng Ratu adalah pengarah yang bagus. Dalam beberapa tahun ini, dia sangat prolifik memberikan banyak karya baharu.
Dengan kesungguhan itu, saya yakin bahawa filemnya akan menjadi lebih baik jika dia konsisten dan fokus sekali gus menjadi antara sutradara lem seram terbaik yang pernah dimiliki Indonesia.









