‘Biarlah yang bergaduh itu kami. Peminat biar bahagia’ - Utusan Malaysia

‘Biarlah yang bergaduh itu kami. Peminat biar bahagia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan saya kemeriahan konsert Search Rockin’ On Rooftop yang menggegarkan banggunan Campbell hampir dua tahun lalu. 

Penangan Hamzah Mohd. Taib (Kid) dan Nordin Mohd. Taib (Din), yang meneruskan legasi Search ternyata terlalu menyengat sehinggakan lautan peminat sanggup bersesak-sesak dalam kehujanan demi menyaksikan magis dua ‘otai’ Rock tanah air itu. 

Dan pastinya hati peminat sekali lagi berbunga bunga sebaik sahaja pasangan adik beradik ini mengumumkan sebuah lagi konsert bertaraf mega, Search Gemuruh yang bakal dipentaskan 29 Jun ini. 

Namun, belum pun dilaksanakan, konsert berkenaan mula rancak diperdebatkan, mengundang perbalahan peminat tentang isu-isu berbangkit. 

Antaranya ketiadaan Denden dan Yantoi yang digantikan Amir Masdi dan Rozaimi (Barbarik) selaku vokalis dan pemain bass hangat dibahaskan. Sebilangan besar pencinta Search mempersoalkan kewajaran pemilihan dua ‘budak mentah’ yang membarisi line up konsert tersebut. 

Kid dan Din bagaimanapun punya alasan tersendiri atas pemilihan yang dimuktamadkan. Pada mereka, kredibiliti Amir dan Rozaidi seadilnya dinilai ketika persembahan pada malam itu nanti. 

“Bukan mudah untuk ambil penyanyi luar. Tapi, pada penilaian kami, Amir punya pakej lengkap dan tepati kriteria yang kami cari. Showmanship rocknya ‘gempak’. 

“Dia mampu bawa lagu-lagu Search tanpa perlu pemuzik turunkan ‘key’. Bila dia terima pelawaan kami, maksudnya keyakinannya tinggi. 

“Kritikan peminat adalah perkara biasa. Sewaktu Denden dipilih menjadi vokalis pada konsert terdahulu juga dipersoalkan ramai. Bahkan ada yang menamakan line up kami waktu itu dengan gelaran ‘band bakso’. Tapi akhirnya Denden buktikan kemampuan. 

“Tentang Rozaidi pula, petikan bassnya menjelmakan bunyi tersendiri, dia ada kelebihan itu. Jadi, kami mahu berikan dia peluang,” kata Kid. 

Mungkin peminat sudah boleh bertenang. Nikmati sahaja debaran menjelang konsert yang berbaki lebih empat minggu ini. Bak kata Din, enjoy the moment. 

“Kami kumpul banyak pengalaman. Tiba masanya kami kongsikan semuanya kepada ‘orang baru’, menyatukan idea dan cuba sesuatu yang baru. 

“Yang penting semangat di rooftop Campbell dua tahun lalu diteruskan di Zepp Kuala Lumpur. Kami teruja, ibarat kali pertama membuat persembahan,” ceritanya.

BOLEH BERSEMUKA, TAPI BERSYARAT

Bermacam-macam kontroversi menghimpit pasangan gitaris adik beradik ini dalam kerancakan mereka meneruskan legasi Search.

Timbul pelbagai konflik sementelah kumpulan Search berpisah haluan, menyaksikan vokalisnya, Datuk Amy mewujudkan barisan baharu bergandingan dengan gitaris tersohor, Hillary Ang dan Man Kidal selain Nasir Daud selaku pemain bass. 

Terbaru, Amy tampil mempersoalkan mengenai royalti album Rockology Search: Kid’Din yang pada penyanyi itu menjadi sebahagian hak beliau, arwah Yazit dan Nasir. 

Ujar Kid, segala pertikaian yang ditimbulkan seeloknya diselesaikan mengikut lunas undang-undang. 

“Isu ini sudah lapuk dan tak ada apa yang hendak kami sorokkan. Peminat Search boleh nilai. Kita ada undang-undang, ikutlah saluran yang betul kalau hendak selesaikan. 

“Kami tak ada masalah bersemuka dengan pihak sebelah sana. Tapi bersyarat. Sampai sekarang tiada perbincangan dibuat, jadi laluan undang-undang lebih baik untuk selesaikan. 

“Banyak isu yang sudah pun kami jawab. Namun, tohmahan yang kami terima kali ini agak berat. Ada sebab kenapa kami tidak saman, hendak cakap perkara ini agak sensitif. Yang faham…faham. 

“Apa pun, biarlah yang bergaduh adalah kami. Peminat biar bahagia,” kongsi Kid. 

Dalam pada itu, muncul pertanyaan mengapa Kid dan Din terus menggunakan nama Search, sedangkan nama mereka sendiri sudah kuat untuk dijenamakan. 

“Search sebati dengan diri kami, bertahun-tahun kami bawa nama ini. Ibarat tumbuhnya pokok sudah membuahkan hasil. “Kami mahu teruskan legasi, takkan biarkan Search berkubur hanya disebabkan berlaku pengunduran sebelum ini. 

“Kami bersikap terbuka dalam hal ini. Rezeki datang daripada Allah SWT. Pihak sebelah sana ada kelangsungan hidup. Yang baik kami sokong,” jelasnya.

BARISAN BERSILIH GANTI

PELBAGAI spekulasi ditimbulkan ekoran ketiadaan Amran Marsiman atau Yan membarisi line up konsert kali ini. 

Teka teki itu terjawab apabila Kid menerangkan tentang perkara itu. Jelasnya, ketiadaan Yan adalah atas pilihan tuan punya badan sendiri.

“Keutamaan kami beri kepada dia. Tapi jadualnya penuh, jadi dia tak dapat bersama pada konsert kali ini. 

“Tiada istilah penyingkiran, apatah lagi bergaduh sesama kami. Bahkan, semua keputusan adalah hasil perbincangan bersama.

“Hasrat kami tahun ini adalah untuk rombak barisan. Jadi kami mulakan dengan pemilihan vokalis lain (Amir Masdi) di Zepp Kuala Lumpur. Hal itu telah pun kami nyatakan sebelum ini.

“Biarlah kami sahaja yang tetap dalam kumpulan ini. Lebih selesa begini. Siapa tahu mungkin selepas ini kami bergandingan pula dengan penyanyi perempuan,” kongsinya.

Disoal tentang perancangan untuk tubuhkan band dengan anggota tetap, jawab Din pihaknya belum bersedia kearah itu.

“Ditambah dengan isu tentang Search yang ditimbulkan sekarang, kami rasakan belum sesuai untuk adakan line up tetap. Kami lebih selesa begini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×