BALIK PULAU : Tiga beranak dilaporkan maut selepas terperangkap dalam satu kebakaran di rumah kedai yang mereka diami di Jalan Utama Balik Pulau di sini terbakar, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang wanita dan dua anaknya iaitu masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.
Menurut seorang jurucakap bomba, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, pihaknya terus bergegas ke lokasi.
“Tiga mangsa yang terperangkap itu masih belum dikenal pasti buat masa ini.
“Mangsa pertama dijumpai pada pukul 8 pagi, mangsa kedua pukul 9.04 pagi manakala mayat ketika ditemui pada 10 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, wanita tersebut dan anak lelakinya sebelum itu telah berjaya keluar dari rumah kedai tersebut, namun, berpatah balik selepas menyedari seorang lagi mangsa iaitu anak perempuannya masih tidur di tingkat atas.
Selain menjual kain, kedai yang terbakar itu dikatakan turut menjual pelbagai jenis karpet, cadar dan permaidani.-UTUSAN











