TERATAKNYA kecil, sekitar 520 kaki persegi sahaja.
Namun, reka bentuk dan tatariasnya menarik perhatian.
Rekaan moden pada reka bentuk luaran yang dipadankan pula hiasan dalaman yang juga moden memberikan satu vibes yang unik pada kediaman yang satu ini.
Pemiliknya, Nur Ellysha Yahya berkata, konsep tiny house menjadi pilihannya dan suami kerana mesra poket selain bersesuaian dengan bajet mereka.
“Tahu berkenaan dengan tiny house dari hasil pemerhatian beberapa kontraktor yang menyediakan pakej rumah mampu milik yang juga dikenali sebagai tiny house.
“Kami padankan bersama konsep moden minimalis. Konsep ini adalah hiasan rumah yang menerapkan prinsip less is more. Ciri khas daripada minimalis pula adalah rekaan yang sederhana dan efisien,” katanya kepada Seri.

Meninjau ke beberapa sudut, biarpun dikatakan sebagai tiny house, namun ruangan dan bahagian-bahagian rumah tidak kelihatan begitu sempit atau padat.
Ia disebabkan susun atur perabot yang minimal selain kebanyakan dinding dilatari dengan warna cerah.
Dinding yang cerah memberikan pantulan cahaya yang baik sekali gus menjadikan ruang tampak lebih besar, lapang dan luas.

Walaupun begitu, sedikit sentuhan bercorak pada lantai bahagian hadapan rumah dan dapur menaikkan seri rumah agar tidak kelihatan kosong biarpun tanpa kehadiran aksesori yang pelbagai.
Kata Ellysha, tiny house tidak boleh dipadatkan dengan pelbagai jenis perabot atau aksesori. Cukup dengan barang keperluan sahaja.
“Perabot merupakan elemen penting dalam mendekorasi kediaman. Perlu pilih perabot yang mengikut tema rumah dan warna juga perlu senada.
“Kelebihan tiny house bagi saya, ia mudah untuk diurus . Daripada segi rutin harian untuk dibersihkan sangat menjimatkan masa,” jelasnya.











