‘Usah sempitkan isu gender’

‘Usah sempitkan isu gender’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGLIBATAN dalam industri yang didominasi lelaki memerlukan kekuatan daripada segi mental dan fizikal.

Rupa-rupanya bersaing dalam bidang dimonopoli lelaki ini, tidak sukar kalau kita tidak menyempitkan isu gender,” kata Pengasas Bomb Battle, Datin Sheehan Tee Kah Mun, 33 membuka kata dalam pertemuan bersama Seri baru-baru ini.

Saya tertarik dengan perniagaan dibangunkan Jelitawan ini kerana ia lain daripada yang lain.

Malah yang lebih menarik perhatian mengenai dirinya ialah bagaimana pada usia muda, beliau bergelumang dalam bidang yang dimonopoli lelaki itu.

Beliau yang lebih mesra disapa Sheehan Tee berkata, pembabitan dalam perniagaan berkenaan sebetulnya bermula secara tidak sengaja.

“Saya mahu berniaga tetapi tidak tahu bentuk perniagaan yang bagaimana yang perlu saya bangunkan. Ayah saya beritahu, kalau tidak tahu cuba dulu apa-apa bentuk perniagaan bagi mencungkil bakat dalam diri,” katanya mengimbau kenangan sewaktu mula-mula mahu menyertai dunia perniagaan dalam segmen pusat mainan generasi baharu Bomb Battle setahun lalu.

Beliau mengakui biarpun dilahirkan dalam keluarga yang berorientasikan perniagaan, bukan bermakna bakat ‘pandai berniaga’ itu mengalir dalam urat sendinya secara semulajadi.

“Kalau tidak bersungguhsungguh mencungkil bakat dan minat, sampai ke sudahlah tidak ditemui kekuatannya.

“Saya sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk memastikan hasil adalah seperti apa yang saya inginkan,” katanya.

Seperti kebanyakan wanita lain, minatnya memang ke arah kecantikan seperti solekan dan fesyen, namun takdir membawanya ke arah bertentangan.

Sungguhpun minat kepada dunia kecantikan tetapi realitinya jiwanya gemarkan sesuatu yang lasak.

“Secara jujur, saya memang tidak tahu dan tidak pernah bermain apa-apa permainan.

“Tapi takdir membawa saya kepada industri ini. Saya tidak berminat dengan permainan yang dibawakan, tapi saya minat untuk mengurus perniagaan itu,” katanya berterus terang.

SHEEHAN Tee (tengah) ketika pelancaran pembukaan outlet Bomb Battle yang pertama di Berjaya Times Square.

Selepas berkecimpung dalam industri permainan ini, Sheehan Tee tidak menafikan pengaruh yang diperoleh banyaknya datang dari luar negara.

“Banyak program saya ikuti dari rancangan hiburan Korea dan China seperti Running Man.

Malah saya sanggup terbang ke luar negara untuk tengok dengan mata kepala saya sendiri, program berkenaan secara langsung,” katanya.

Dengan pendedahan yang ada, beliau meneruskan rancangan untuk mendalami lagi bidang berkenaan. Lebih-lebih lagi apabila beliau melihat kepada potensi pasaran yang besar di Malaysia.

“Minat membawa saya menempatkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi di sebuah taman tema Realiti Maya (VR) terkenal di ibu kota. Saya bekerja di sini selama beberapa tahun sebelum Covid melanda.

“Antara pengalaman saya raih ialah pengurusan jualan dan pemasaran,” katanya.

Seiring dengan kedewasaan, beliau tidak lagi melihat permainan itu hanya sebagai minat, sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk dijadikan peluang perniagaan.

“Saya cakap pada ayah untuk buka perniagaan ini dan dia benarkan,” katanya.Antara pencapaian terbaik Bomb Battle ialah penganugerahan bagi Taman Tema Imersif dan Interaktif Terbaik untuk Keluarga.

TEKNOLOGI UNTUK RAPATKAN HUBUNGAN MANUSIA

Mengulas mengenai kemajuan teknologi, Sheehan Tee tidak menafikan perkara itu sedikit sebanyak mengurangkan interaksi sesama manusia.

Katanya, disebabkan itu, dia turut mendapat idea untuk gunakan semula kemudahan teknologi yang ada untuk kembalikan kemesraan dalam hubungan.

“Dengan teknologi seperti gajet, orang kurang untuk meluangkan masa bersama kerana lebih fokus kepada perkara itu “Jadi saya lakukan sebaliknya seperti menggunakan teknologi ini untuk rapatkan semula hubungan silaturahim.

“Sebab itu permainan kami memerlukan sekurang-kurangnya empat orang. Main seorang memang tidak jalan,” katanya.

SOKONGAN KELUARGA

Anak kedua daripada tiga beradik ini dilahirkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan logistik, namun minatnya tidak terarah ke situ.

“Walaupun saya tidak minat mewarisi perniagaan keluarga, tetapi ayah beri saya peluang untuk cungkil bakat. Saya juga pernah menjadi jurusolek dan pernah bekerja di syarikat terbitan majalah.

“Sedar tidak sedar hampir 10 tahun masa diambil untuk bina perniagaan yang kena dengan diri saya,” katanya ketawa.

Antara pesan ayahnya bila memutuskan untuk membina perniagaan bentuk baharu ialah teruskan berusaha keras sehingga berjaya capai apa yang diingini.

Walaupun pada awal ayahnya tidak gemar akan konsep yang dibawakan kerana dilihat sebagai perniagaan yang hanya bergantung pada trend semasa, Sheehan Tee tekad untuk meneruskan keinginannya.

Berkat kerja keras dan usaha yang kini membawa hasil, beliau berjaya membuktikan tanggapan ayahnya terhadap bidang tersebut.Selain ibu bapa, figura seorang suami turut memberi pengaruh kepada bidang kerjaya yang dipilih.

Mempunyai sokongan dari orang terdekat dengan pengalaman dalam bidang sama meningkatkan lagi keyakinan dirinya.

Katanya, sewaktu peringkat awal mendapatkan inspirasi untuk menjalankan perniagaan, suami merupakan antara individu yang menjadi tulang belakang.

“Setelah selesai membuat kajian dan inspirasi, saya akan merujuk kepada suami untuk sesi brainstorming.

“Suami saya merupakan seorang yang penuh dengan idea, jadi saya tanya pendapat dia tentang apa yang perlu dilakukan dan dia akan berikan penyelesaian dan nasihat.

“Kadangkala idea yang dilontarkan itu langsung saya tidak terfikir, jadi ia memang sangat membantu,” katanya.

AKTIVITI Bomb Battle yang memerlukan sekurang-kurangnya empat orang pemain.

CABARAN KERJA

Terbabit dalam dunia perniagaan di monopoli lelaki tidaklah terlalu sukar buat Jelitawan ini.

Beliau mengakui sebelum terjun dalam dunia itu ada rasa sangsi, namun ia sedikit terhakis bila dia benar-benar mendalami pekerjaan dilakukan.

Sebagai wanita yang menceburi bidang itu, beliau tidak lari dari cabaran bersaing dengan pengasas lelaki yang lain.

“Kita memang kena berusaha sekeras-kerasnya. Antaranya seperti dari segi modal insan, kewangan dan perhubungan seperti rakan kongsi perniagaan,” katanya.

Beliau mengakui bentuk perniagaan turut memberikan peranan dalam meraih sokongan rakan sekerja lelaki.

“Untuk seorang wanita berada dalam industri yang sangat dominan lelaki, sedih untuk dikatakan tetapi kadang-kadang apabila kita keluar, ia sangat sukar disebabkan stereotaip.

“Tetapi saya percaya masa akan membuktikan segala-galanya. Kita hanya perlukan masa,” katanya tegas.

Tambah beliau, sebagai wanita dalam bidang perniagaan dengan saingan dari pelbagai arah, kekuatan fizikal dan mental sememangnya diperlukan untuk kekal bertahan.

Katanya, berbekalkan usaha dan ketekunan, seseorang wanita itu pasti mampu mencapai apa yang diingini.

“Sebagai wanita, kita jangan fikir apa yang kita tidak mampu buat tetapi fikirkanlah apa yang kita mampu untuk lakukan. Sentiasa percaya pada kebolehan diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×