Jual serendah RM9, premis jual kanta lekap tidak sah diserbu

Jual serendah RM9, premis jual kanta lekap tidak sah diserbu semula

MURALITHARAN Paramasua (dua kiri) menunjukkan kanta lekap tidak sah pada sidang akhbar di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Meskipun sudah diserbu tahun lalu kerana menjual kanta lekap tidak berdaftar, sebuah premis ternyata tidak serik apabila dikesan masih melakukan kesalahan sama.

Kegiatan itu terbongkar selepas serbuan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di pusat beli-belah borong fesyen di Pudu, Isnin lalu.

Menerusi serbuan itu, MDA merampas sejumlah 101,186 unit kanta lekap tanpa label, 42,098 unit kanta lekap pelbagai jenama dan 276 keping pelekat label berjenama dengan nilai rampasan dianggarkan RM700,000.

Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua berkata, serbuan dijalankan susulan aduan awam dan hasil pemeriksaan mendapati berlakunya pengedaran kanta lekap tidak berdaftar oleh syarikat berkenaan selain tidak mempunyai lesen sah.

Jelasnya, dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada November tahun lalu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MDA membatalkan serta-merta lesen syarikat itu.

“Walaupun lesen dibatalkan tahun lalu, kita dapati syarikat berkenaan masih beroperasi seperti biasa sehingga serbuan kali kedua dijalankan pada Isnin. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, syarikat itu beroperasi sekitar tiga tahun dan dimiliki oleh warga tempatan.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka menggunakan modus operandi dengan mempamerkan produk kanta lekap berdaftar, namun pada masa sama turut mengedarkan kanta lekap tidak berdaftar,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Muralitharan berkata, syarikat terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Peranti Perubatan 2017 (Akta 737) antaranya tidak mendaftar peranti perubatan dan tiada lesen establismen.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, hukuman denda maksimum boleh dikenakan sebanyak RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya masih memburu ejen-ejen jualan terbabit.

“Kanta lekap yang dirampas itu dibawa masuk secara haram ke negara ini dari Korea Selatan sebelum diedarkan. Syarikat berkenaan turut mempunyai ejen dan menjalankan operasi secara dalam talian.

“Produk-produk tersebut juga tidak mempunyai sebarang label, sebelum dilekatkan dengan label sendiri dan dijual. Kanta lekap fesyen dan rabun yang tidak berdaftar itu dijual di antara RM9 hingga RM10 iaitu lebih rendah berbanding harga pasaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muralitharan turut menyeru orang ramai yang membeli kanta lekap tidak berdaftar dari premis berkenaan supaya tampil membuat aduan kepada MDA bagi membantu proses siasatan.

“Pengguna dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika membeli kanta lekap dan tidak menyokong aktiviti penjualan kanta lekap tidak berdaftar kerana ia tidak disahkan dari segi keselamatan dan prestasi.

“Selain itu ia boleh menjejaskan kesihatan mata seperti mata menjadi merah, berair atau gatal. Paling ekstrem, kornea mata juga boleh terkoyak atau buta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×