335 rumah tahan gempa dibina untuk mangsa Gunung Marapi

335 rumah tahan gempa dibina untuk mangsa Gunung Marapi

SEORANG penduduk berjalan berhampiran rumah yang musnah di kampung Bukik Batabuah, di daerah Agam, Sumatera Barat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memberi jaminan kerajaan akan membina 335 rumah tahan gempa untuk keluarga yang terjejas teruk akibat letusan lava sejuk Gunung Marapi baru-baru ini.

Menurut jurucakap agensi itu, Abdul Muhari, kediaman tahan gempa itu akan dibina oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan di daerah Agam serta Tanah Datar di Sumatera Barat.

Katanya, kerajaan daerah Agam menyediakan tanah seluas 100 hektar, manakala pentadbiran Tanah Datar menyediakan tanah seluas 10 hektar untuk pembinaan rumah berkenaan.

“Sebanyak 335 rumah itu akan dipanggil unit Rumah Instan Sederhana Sehat (Risha) yang direka untuk isi rumah terjejas akibat bencana alam itu.

“Unit Risha ini adalah tahan gempa, jadi ia sesuai untuk penduduk di Sumatera Barat yang merupakan antara kawasan paling terdedah dengan bencana gunung berapi di Indonesia,” katanya.

Presiden, Joko Widodo (Jokowi) turut melawat daerah Agam untuk menyelia tanah yang disediakan bagi projek pembinaan perumahan berkenaan Selasa lalu.

Dalam lawatannya, Jokowi menyatakan langkah kecemasan bencana di Agam dan Tanah Datar kini berjalan dengan baik.

Gunung Marapi pertama kali meletus pada 3 Disember 2023, kira-kira jam 2:54 petang (waktu tempatan), memerangkap lebih 75 pendaki di kawasan cerun.

Gunung berapi itu meletus semula pada 6 Januari lalu sekitar jam 8:45 malam (waktu tempatan).

Pada petang 11 Mei lalu, aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi dan tanah runtuh direkodkan di beberapa bahagian daerah Agam dan Tanah Datar serta bandar Padang Panjang.

Kejadian itu meragut sekurang-kurangnya 61 nyawa dan menyebabkan kerosakan banyak rumah penduduk tempatan, perniagaan dan kemudahan awam di kawasan yang terjejas.

Bencana itu turut menyebabkan beberapa bahagian jalan rosak teruk termasuk yang berdekatan dengan air terjun Lembah Anai sehingga mengganggu pergerakan orang ramai dan pengangkutan barangan antara Padang dan Bukittinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×