KANGAR: Pas sedia meletakkan calon di enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Ini berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 kerusi-kerusi tersebut kosong ekoran tindakan enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu yang berpaling tadah menyokong Perdana
Menteri.
Bagaimanapun, segala keputusan dalam menentukan calon Perikatan Nasional (PN) itu terserah kepada proses rundingan dengan Pas sentiasa bersedia jika diberi peluang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan jika berlaku PRK tersebut.
Mengenai calon di ketujuh kerusi itu, kata Hashim, perkara itu terserah kepada kepemimpinan gabungan PN untuk berunding.
“Saya serah pada Pas, kalau diberi peluang bertanding kita sedia bertanding. Saya yakin kalau Pas diberi mandat bertanding kita sudah bersedia.
“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, PN yakin PRK bagi enam kerusi parlimen dan satu kerusi DUN perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing.
Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kesemua ahli parlimen dan ADUN yang sedang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi notis minggu lalu.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau tidak akan membalas surat arahan yang dikeluarkan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam Bersatu bagi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu.
Sebelum ini, seramai enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dari Bersatu dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Perdana Menteri bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Kemudian Datuk Suhaili Abdul Rahman(Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin, Dzulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Abdul Rashid Asari (ADUN Selat Klang).
Mengulas lanjut, Hashim berkata, Pas juga yakin peluang PN menang di dalam PRK tersebut cerah namun perlu menguatkan lagi kekuatan jentera mendepani pilihan raya itu.
“Pilihan raya ini sudah menjadi adat ada yang kalah dan ada yang menang. Kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut,” katanya. – UTUSAN











