JOHOR BAHRU: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan dua kenderaan buruk sebagai tempat simpanan terbongkar apabila dua lelaki ditahan dalam empat serbuan berasingan di bandar raya ini antara 16 hingga 20 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, lelaki berusia 35 dan 36 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah dengan salah seorang positif dadah.
“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan dua kenderaan buruk dengan salah sebuah diletakkan di lorong belakang rumah untuk menyimpan dadah. Suspek kemudian akan ke kereta tersebut untuk mengambil dadah sebelum diedarkan ke pasaran dan sindiket ini juga sudah mempunyai pembeli sedia ada.
“Namun, ketika serbuan dijalankan, lebih 13.8 kilogram (kg) dadah disimpan dalam dua kenderaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak Mac lalu dan kita percaya terdapat saki baki ahli sindiket yang masih bebas.
“Antara yang dirampas termasuk 10.7kg heroin; 2.1 kg pil eramin; 875 gram (g) ganja dan 80 g syabu dengan nilai keseluruhan dadah RM331,339. Selain itu, polis turut merampas dua kereta; dua motosikal; seutas rantai dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah sebanyak RM425,739,” katanya.
Beliau turut memberitahu, sejak 1 Januari hingga kelmarin, polis negeri ini telah merampas 2.1 tan dadah bernilai RM18.79 juta, manakala harta yang dirampas bernilai RM6.34 juta. – UTUSAN










