Razman bantu siasatan isu perkataan kafir di media sosial - Utusan Malaysia

Razman bantu siasatan isu perkataan kafir di media sosial

RAZMAN Zakaria (tengah) hadir di IPD Kerian di Bagan Serai hari ini untuk diambil keterangan berhubung siasatan satu akaun media sosial mengenai isu penggunaan perkataan kafir. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung hantaran mengenai  isu perkataan kafir dalam satu akaun di media sosial.

Menurutnya, beliau memberikan kerjasama dan telah ke IPD Kerian pagi tadi untuk diambil keterangan selepas dipanggil pihak polis.

“Saya dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan berhubung satu akaun dalam media sosial mengenai kandungan hantarannya yang berkait dengan isu penggunaan perkataan kafir.

“Saya tiada kaitan apa-apa dengan akaun tersebut.  Tiada isu untuk mengaitkan saya dengan akaun tersebut yang dikatakan menghina Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Saya berada di IPD Kerian lebih kurang sejam. Saya ditanya adakah akaun itu akaun saya. Ia bukan akaun saya, tak boleh hendak kaitkan dengan saya dan penulisan dalam akaun itu pun bukan penulisan saya

“Saya tidak tahu mengenai akaun itu. Cerita itu (isu perkataan kafir) viral,  semua orang tahu jadi ia akan lalu di Facebook, saya pun baca, itu perkara biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Fadhlina membuat laporan polis dan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran hantaran berbaur fitnah terhadapnya di laman sosial.

Ia merujuk kepada satu video tular memaparkan Fadhlina yang didakwa menolak penggunaan label kafir ketika berucap dalam satu majlis.

Fadhlina berkata, beliau telah menerima kata-kata berbaur kebencian, tuduhan tidak benar malah ancaman keselamatan di media sosial.  – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×