Penduduk mahu masalah banjir kilat diselesaikan

Penduduk mahu masalah banjir kilat diselesaikan

ZALEHA Adam menunjukkan keadaan rumahnya yang terjejas banjir kilat dalam kejadian di Kampung Baru Chengkau Ulu, Rembau pagi semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Penduduk di Kampung Baru Chengkau Ulu di sini mahu pihak berwajib untuk menyelesaikan segera isu banjir kilat yang berulang berlaku di kampung itu setiap kali hujan lebat.

Seorang warga emas, Zaleha Adam, 71, memberitahu, sejak setahun lalu sudah lima kali kejadian banjir kilat berlaku sehingga memasuki rumahnya.

Kejadian terbaharu katanya berlaku pagi semalam di antara pukul 6.30 pagi sehingga pukul 11 pagi.

“Sejak tahun lalu masalah banjir kilat terlalu kerap dihadapinya sekiranya hujan terlalu lebat melebihi dua jam. Air terlalu banyak dari kawasan perkampungan belakang rumah dan longkang penuh di hadapan rumah.

“Sudah lima kali air banjir kilat masuk dalam rumah tetapi sampai ruang tamu sahaja. Setiap kali berlaku dua orang cucu yang tinggal dengan saya yang akan bantu menimba air banjir kilat ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk, Roslan Abu Bakar, 53, berkata, dia berharap agar masalah banjir kilat itu akan dapat diatasi apatah lagi terdapat dua buah rumah yang kerap berhadapan masalah tersebut setiap kali hujan lebat.

“Dalam kejadian hari ini (semalam) hujan lebat berlaku sejak pukul 4 pagi. Dalam tempoh dua jam sahaja banjir kilat berlaku dan kejadian mungkin berulang kerana cuaca masih mendung serta berpotensi untuk hujan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Rembau, Mohd. Zamri Mohd Esa berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau telah membuat longkang, bagaimanapun aliran keluar ke sungai agak jauh menyebabkan penyuraian air tidak dapat berlaku dengan segera.

“Pihak kami akan melakukan lawatan tapak bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mencari penyelesaian segera ke atas isu banjir ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×