MPH TRX syurga untuk ulat buku

MPH TRX syurga untuk ulat buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANGKAIAN kedai buku terbesar di Malaysia, MPH, baru-baru ini melancarkan outlet terbaharunya di pusat beli belah The Exchange, TRX.

Menjejakkan kaki ke outlet terbesar berkeluasan 20,000 kaki persegi ini, saya begitu kagum dengan kelainan yang cuba dibawakan.

Pintu masuknya yang besar tersergam megah memukau saya untuk terus memasuki premis tanpa berfikir panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Variasi buku yang pelbagai pula memberikan keterujaan dengan aneka pilihan bagi si ulat buku.

Pelancaran kali ini juga dikatakan sebagai tanda kebangkitan semula MPH selepas banyak cawangan ditutup semasa penyebaran Covid-19, empat tahun lalu.

Komitmen tersebut sememangnya dapat dilihat berdasarkan imej baharu yang ditampilkan itu.

DEKORASI DALAMAN
Dengan sejarah kewujudan melebihi satu abad, dekorasi digunakan memang nampak berbeza kalau dibandingkan dengan yang lama.

Berkonsepkan warna alam dengan menggabungkan warna coklat dan putih, menaikkan lagi serinya.

Pencahayaan yang sangat terang menampakkan ruang jauh lebih luas dan lapang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Martin Cross berkata, pendekatan itu diambil bagi memberikan wajah baharu kepada kedai buku berkenaan.

Ia dihasil sedemikian supaya dapat dilihat, seterusnya menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke situ.

“Dari jauh kita dapat tengok dekorasi baharu yang dibawakan. Pencahayaan yang cukup terang, memudahkan orang tengok buku.

“Kita juga ada ukiran-ukiran kayu yang menampakkan sejarah lama,” katanya ditemui sewaktu pelancaran kedai buku berkenaan baru-baru ini.

Memanfaatkan keluasan kawasan yang ada, MPH turut menyediakan dua ruang acara membabitkan ruang terbuka yang dikhaskan untuk pihak pengarang bagi acara pelancaran buku baharu.

Manakala ruangan tertutup pula khusus bagi menjayakan kelas-kelas dan aktiviti untuk kanak-kanak.

“Kita ada dua ruang acara boleh digunakan, satu untuk pelancaran buku dan satu lagi untuk buat kelas bersama kanak-kanak yang lebih tertutup.

“Ini juga adalah kelainan yang kami cuba bawakan dalam cawangan terbaharu ini,” katanya.

LEBIH BANYAK PILIHAN
Rangkaian buku yang ditawarkan pada outlet terbaharu ini menjadikan saya rambang mata untuk memilih.

Pelbagai genre buku disediakan bagi semua pembaca tanpa mengira usia.

Dari fantasi, fiksyen sains, pendidikan, komik dan juga tawaran dalam pelbagai bahasa ada di sini.

Kepelbagaian yang boleh didapati juga tidak terhad kepada buku sahaja, malah ada pelbagai koleksi cenderahati bertemakan Malaysia dan buatan tempatan tersedia untuk dimiliki pembeli.

Martin berkata, ia merupakan antara tarikan bagi cawangan terbaharu itu yang terletak di pusat beli belah di tengah ibu kota yang dikunjungi pelancong.

Katanya, kerjasama dengan syarikat tempatan itu secara tidak langsung memperkenalkan semula budaya Malaysia kepada pelancong asing.

“Kawasan kedai ini terletak di pusat yang menjadi tarikan pelancong untuk datang singgah.

“Kita gunakan kelebihan ini itu untuk jual cenderamata dengan tema Malaysia untuk dijadikan koleksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini