Kehebatan Azizulhasni sukar ditandingi

Kehebatan Azizulhasni sukar ditandingi

Azizulhasni Awang meninggalkan pelumba-pelumba lain dalam acara akhir keirin Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah apabila menjuarai acara keirin elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik itu mewakili Terengganu menerima tentangan sengit daripada pasangan adik-beradik dari Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan sebelum memastikan pingat emas menjadi miliknya.

Azizulhasni yang membuat penampilan terakhirnya di kejohanan tersebut berkata, beliau gembira melihat saingan yang diberikan oleh pelumba muda sekali gus menjadikan perlumbaan lebih sengit.

“Latihan yang bagus untuk saya begitu juga dengan keputusan. Tujuan saya menyertai kejohanan ini adalah untuk latihan. Persaingan hebat daripada pelumba muda.

“Pujian diberikan kepada Ridwan apabila saya melihat prestasinya meningkat dan mungkin dalam satu atau dua tahun lagi dia boleh pergi ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Azizulhasni turut membawa pulang satu lagi pingat emas dalam acara sprint lelaki elit manakala perak menjadi milik Ridwan dan gangsa dimenangi Shah Firdaus.

Bagi acara keirin elit wanita menyaksikan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mewakili Kedah memenangi emas dan perak dimenangi Yong Ann Tung dari Selangor. 

Gangsa menjadi milik Nurul Aliana Syafika Azizan dari Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut memberitahu beliau bersama skuad kebangsaan akan berlepas ke Belgium dalam tempoh dua minggu bagi menghadapi satu lagi perlumbaan.

“Selepas itu kami akan melakukan latihan intensif di Sepanyol pada Julai dan kemudian terus ke Paris bagi menghadapi Sukan Olimpik. Kami akan tiba seminggu lebih awal untuk menguji trek, mengambil suasana dan melakukan persiapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×