Tiang utama patah, penduduk desak bina jambatan baharu

Tiang utama patah, penduduk desak bina jambatan baharu

JOHARI Sarkom (tengah) Kemat Surono (kanan) menunjukkan tiang jambatan yang patah di Kampung Permatang Sepam Darat di Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 500 penduduk Kampung Permatang Sepam Darat, Benut, dekat sini meminta pihak berkenaan menyegerakan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan kampung tersebut dengan Jalan Utama Parit Madirono-Parit Betak.

Mereka ketika ini terpaksa menggunakan jambatan uzur tersebut walaupun tidak selamat bagi menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Seri Jaya dan Sekolah Agama Permatang Sepam.

Selain itu, golongan lelaki juga menggunakan jambatan tersebut untuk pergi menunaikan solat di Masjid Kampung Permatang Sepam serta mereka yang ingin ke kebun.

Seorang penduduk, Johari Sarkom, 52, berkata, jambatan tersebut yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berusia lebih 50 tahun dengan satu daripada tiang utamanya patah akibat arus deras semasa musim tengkujuh, November tahun lalu.

“Terdapat 60 murid yang belajar di SK dan SA Permatang Sepam yang berulang-alik setiap hari dari Kampung Permatang Sepam Darat terpaksa melalui jambatan tersebut walaupun tidak selamat digunakan.

“Jika mereka menggunakan Jalan Parit Betak ke Kampung Permatang Sepam Laut, jaraknya kira-kira sembilan kilometer dan ini tentunya melewatkan perjalanan terutamanya yang menggunakan basikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, penduduk berharap pembinaanya dapat disegerakan bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk kerana mereka melaluinya menggunakan basikal dan motosikal setiap masa.

Seorang lagi penduduk, Kemat Surono, 78, yang mempunyai kebun kelapa sawit di Permatang Sepam Darat juga menggunakan jambatan tersebut setiap hari.

“Memandangkan kerosakan jambatan telah hampir tujuh bulan, kita berharap kerajaan perlu segera membantu penduduk yang terkesan. Bagi pengguna kereta, mereka terpaksa berpusing melalui Jalan Parit Betak ke Kampung Permatang Sepam Darat kerana jambatan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan lain selain motosikal dan basikal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×