Selepas kontroversi membabitkan seorang pempengaruh yang menjalinkan hubungan dengan suami orang tular baru-baru ini, pelakon, Ashraf Muslim tampil berkongsi pandangan tentang hidup berpoligami.
Katanya, tindakan itu wajar diperjelas dan diperbetul secara baik agar tidak menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai hidup berpoligami.
“Tak kisahlah beristeri dua, tiga atau empat sekalipun, yang penting kena betulkan niat kalau mahu berkahwin lain.
“Poligami kena seiring dengan tanggungjawab dan kemampuan.
“Suami pula kena ada sebab yang kukuh sebelum meneruskan perancangan untuk berkahwin lagi,” katanya.
Bapa kepada empat cahaya mata ini beranggapan perkahwinan bukan dilaksana atas perasaan cinta sesama manusia semata-mata, malah perlu meletakkan sang pencipta dalam setiap perkara.
Ditanya mengenai kontroversi membabitkan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah, Ashraf berpendapat perkara itu lumrah dalam hidup berumah tangga.
“Saya sebelum ini lalui apa yang mereka hadapi sekarang.
“Anggaplah yang terjadi itu sebagai dugaan kepada diri sendiri.
“Mungkin dugaan itu mengajar mereka untuk berubah menjadikan manusia lebih baik dan lebih mendekatkan diri kepada Allah, S.W.T” ujarnya.
Ashraf sebelum ini disatukan dengan isteri kedua, Wan Sakinah Saburi di Thailand pada 17 Julai 2013.
Sebelum itu, aktor ini mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011.
Hasil perkongsian hidup dengan Noor Dayana, Ashraf dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf manakala dengan isteri kedua dia dikurniakan tiga cahaya mata aitu Sarah Ashraf, Adam Ashraf dan Safiyyah Ashraf.
Teater buat saya rasa lebih dihargai
Bercerita mengenai pembabitan dalam pentas teater, empunya nama sebenar Mohammad Ashraf Muslim, 42, berkata penyertaannya tidak berlaku mudah, malah perlu bermula kosong meskipun sudah lama bergelar pelakon.
“Saya bukan pelajar aswara dan tidak pernah sama sekali mengambil jurusan seni.
“Tetapi, saya memang minat dengan teater sehingga dan sering berasa teruja apabila ditawarkan belakon untuk pementasan.
“Dalam teater saya belajar banyak perkara untuk perbaiki lakonan. Lebih manis apabila dapat menuntut ilmu daripada senior berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan.
“Melihat penonton menangis dan sedih merupakan satu kepuasan kepada diri saya kerana saya sedar itu bukan mudah membuat penonton terkesan dengan lakonan kita,” jelasnya.
Ashraf yang juga merupakan pelakon lelaki terbaik anugerah Telenovela 2017 menegaskan, pelakon teater perlu memiliki kemahiran lakonan yang lebih baik disebabkan persembahan mereka ditonton secara langsung audiens.
“Perkara ini sebenarnya sedikit berbeza dengan lakonan drama. Kalau saya buat kesilapan semasa drama, telemovie ataupun filem, ia masih boleh disunting atau dirakam semula. Itu tidak akan berlaku dalam lakonan teater,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ashraf meluahkan rasa kecewa apabila pelakonan teater pada hari ini masih dibayar dengan harga yang lebih rendah sedangkan lakonan pentas bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan.
Namun katanya, masalah tersebut sukar diubah, membuatkan ramai pelakon teater terpaksa berdamai dengan hakikat yang isu bayaran tidak pernah selesai.
“Bagi saya, ia sekadar bayaran. Saya sama sekali tak kisah dibayar murah kerana ada pendapatan menerusi lakonan drama.
“Yang penting kepuasan saya untuk berteater. Perkara itu perkara itu memadai bagi saya” jelasnya yang ditemui selepas sidang media drama teater Srikandi Empayar Melaka, baru-baru ini.










