KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang cerah untuk melangkah ke final dalam acara berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.
Ketua jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun berkata, keyakinan itu berdasarkan kualiti yang dimiliki ketiga-tiga regu yang akan dipertaruhkan dalam acara berkenaan.
Katanya, dalam acara berpasukan, setiap regu perlu berada di tahap terbaik dan tidak boleh ada perbezaan yang ketara sekiranya ingin melakarkan kejuaraan.
“Acara berpasukan saya rasa kita lebih peluang untuk ke final. Insya-Allah. Sebab kita ada tiga regu yang konsisten. Jadi kita tak berapa risaulah.
“Bukan kita terlebih yakin, tetapi melihat kekuatan ketiga-tiga regu itu, agak seimbang. Jadi ini memberikan peluang yang lebih ketaralah untuk acara berpasukan ke final.
“Kita pun sudah cuba pelbagai regu semasa latihan dan saya lihat kita ada kekuatan kepada acara berpasukan. Yang penting kita nak kena konsisten (setiap perlawanan) untuk ketiga-tiga regu itu,”katanya.
Ditanya mengenai hasrat gergasi sepak takraw, Thailand untuk menyapu bersih ketiga-ketiga kategori, Ahmad Jais tidak tergugat sebaliknya mereka akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu.
“Kita perlu fokus setiap perlawanan terlebih dahulu untuk layak sehingga ke peringkat seterusnya dan kita akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sokongan padu penyokong, kita akan cuba mendapatkan kejuaraan itu di sini,”katanya.
Thailand merupakan kuasa besar dalam sukan sepak takraw terutama acara regu dan regu berpasukan dan Malaysia sering kali dikecewakan oleh musuh tradisi itu di pentas final.
Malah, pada edisi terakhir Piala Dunia Sepak Takraw di Korea Selatan, skuad Gajah Putih berjaya menumpaskan Malaysia di pentas final bagi acara regu. – UTUSAN










