KANGAR: Lebih 500 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong memeriahkan program Misi Sihat Yakult bersempena Hari Kesihatan Penghadaman Dunia di dewan sekolah berkenaan di sini hari ini.
Program anjuran Kelab Doktor Muda SK Seri Tunjong bertemakan murid sihat cemerlang sukan itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti senaman aerobik sihat Yakult 3.0, sesi ceramah misi sihat Yakult, kuiz, reka cipta arca seni kreatif selain pengagihan Yakult kepada para murid dan guru sekolah berkenaan.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Seri Tunjong, Norhayati Osman berkata, program tersebut memberi kesedaran kepada warga sekolah mengenai kepentingan mengamalkan aktiviti sihat dalam kehidupan seharian.
Selain itu, katanya, program berkenaan juga menggalakkan warga sekolah untuk melaksana dan mengamalkan aktiviti pemakanan sihat serta kecergasan fizikal.
“Kita juga ingin mendidik murid mengenai pengambilan nutrisi seimbang agar dapat memberi impak kepada pembelajaran murid di dalam bilik darjah.
“Selain itu, program ini juga mengeratkan lagi hubungan ukhwah sesama murid dan warga sekolah selain memberi kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan aktiviti serta gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian
“Ini juga adalah amalan di dalam memupuk murid di dalam pengambilan nutrisi yang sembang agat dapat memberi impak kepada pembelajaran murid,” katanya.
Tambah Norhayati, kesinambungan program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus dapat
mendekatkan murid kepada persekitaran bersih dan sihat.-UTUSAN










