Selesai kemasukan bukan bumiputera di UiTM

Selesai kemasukan bukan bumiputera di UiTM

Penyelidik
UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYABAS dan sekalung tahniah diucapkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib kerana kekal berprinsip dalam menangani polemik kemasukan pelajar bukan bumiputera di UiTM.

Dr. Zambry menyatakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah berbincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.

Sebaliknya isu ini sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM. Menurut Dr. Zambry lagi, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173, UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Naib Canselor UiTM menyatakan UiTM komited untuk menegakkan Akta UiTM 1976 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Perlu diingat UiTM ditubuhkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah terkait dengan hak keistimewaan bumiputera dan UiTM tergolong dalam aspek menyediakan pendidikan kepada kaum bumiputera.

Jangan lupa kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama pemimpin Melayu, Cina dan India pada 1956 ketika Suruhanjaya Reid mengumpulkan pandangan pelbagai pihak di negeri-negeri Tanah Melayu untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan bagi mencapai kemerdekaan pada 195. Mereka bersetuju dengan hak-hak keistimewaan bumiputera ini. Justeru itu kerana persetujuan dalam kontrak sosial itu juga bukan bumiputera boleh mengamalkan agama, bahasa dan kebudayaan mereka di negara ini.

Di Thailand atau Indonesia misalnya, hanya satu aliran sekolah kebangsaan menggunakan bahasa rasmi negara tersebut dibenarkan tidak seperti mana di Malaysia yang membenarkan sekolah pelbagai aliran seperti sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

UiTM bukanlah satu-satunya institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Terdapat lebih 20 IPTA yang boleh dimasuki oleh pelajar bukan bumiputera. Polemik timbul apabila ada cadangan untuk membenarkan bukan bumiputera mengikuti program pasca siswazah Sarjana Sains Pembedahan (Kardiotorasik) UiTM dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) kerana UiTM merupakan universiti tempatan pertama dan satu-satunya yang menawarkan program tersebut.

Cadangan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Raduan Che Rose sepertimana dilaporkan dalam media massa berkata, jika program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN dibuka kepada bukan Melayu, ia hanya akan menjadi kemasukan ‘sekali sahaja’ dan hanya melibatkan sebilangan kecil daripada pelatih bukan Melayu adalah satu cadangan yang baik dengan mengambil kira ketika ini negara kekurangan pakar sementelah lagi untuk memenuhi sasaran 28,000 pakar perubatan menjelang 2030.

Justeru itu adalah diharapkan Kementerian Pengajian Tinggi perlu memulakan kursus ini di lebih banyak IPTA bukan hanya di UiTM sahaja untuk memenuhi sasaran 28,000 pakar perubatan menjelang 2030 serta untuk menangani polemik kemasukan bukan bumiputera di UiTM.-UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD@SAID
Pensyarah Kanan Fakulti perakaunan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×