MDKerian arah pemaju selesai isu banjir

MDKerian arah pemaju selesai isu banjir

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Serai Perdana, Mohamad Nazri Saidin (empat dari kiri) menyerahkan tuntutan penduduk kepada Setiausaha MDKerian, Norhafisah Mohamad pada sesi dialog mengenai isu banjir di Taman Serai Perdana di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Majlis Daerah Kerian (MDKerian) mengarahkan pemaju menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk fasa baru Taman Serai Perdana di sini seperti yang disiarkan akhbar ini kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha MDKerian, Norhafisah Mohamad berkata, ini bagi mengelak penduduk terlibat daripada terus menanggung kerugian harta benda setiap kali banjir berlaku.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima mememorandum tuntutan daripada penduduk terlibat yang mahu pemaju mengatasi masalah banjir di situ yang berlarutan sejak tujuh tahun lalu.

“Sekarang kita serahkan kepada pihak pemaju perumahan untuk menguruskan tuntutan penduduk. MDKerian mahu pemaju mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu banjir kilat ini terutama di semua blok bangunan di Jalan Perdana 1/5 dan 1/8.

“Kami turut mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan seterusnya dengan penduduk terlibat dan melakukan pemantauan dua kali seminggu di kawasan yang sering dilanda banjir,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, tuntutan penduduk yang diserahkan kepada MDKerian melalui memorandum secara bertulis perlu dipersetujui secara bersama oleh kedua belah pihak yang terlibat.

“Kedua-dua belah pihak perlu bersetuju dalam tuntutan dan cadangan yang dikemukakan dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang telah berlaku di sini sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dialog di antara lebih 100 pemilik rumah di fasa baru Taman Serai Perdana di sini dengan pemaju mengenai isu banjir yang berlaku di kawasan perumahan itu, tegang berikutan tiada penyelesaian masalah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×