Pembukaan zon aliran bebas Wang Kelian beri manfaat ekonomi

Pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian beri manfaat ekonomi kepada penduduk

PENANTIAN penduduk berakhir dengan kesediaan kerajaan berhubung cadangan menghidupkan semula zon aliran bebas yang dimansuhkan sejak 2015 di Wang Kelian, Perlis kelmarin. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kesediaan kerajaan untuk membuka semula zon aliran bebas di Wang Kelian di sini bakal menamatkan penantian penduduk setempat sekali gus bakal merancakkan ekonomi mereka.

Kebanyakan penduduk di situ gembira dengan cadangan pelaksanaan tersebut yang sememangnya amat dinantikan sejak penutupannya pada 2015.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar, 49, berkata, pembukaan semula zon aliran bebas itu dapat menambah baik ekonomi kebanyakan penduduk setempat yang sebelum ini merupakan peniaga.

“Sebelum ini, penduduk terpaksa melakukan kerja-kerja kampung seperti mengusahakan sawah padi dan kebun getah bagi menambah pendapatan selepas mereka tidak dapat lagi berniaga ekoran zon aliran bebas ditutup.

“Namun dengan cadangan pembukaan semula ini, ia sememangnya satu khabar gembira di mana penantian kami selama ini telah berakhir,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan sudah mempunyai perancangan untuk pelaksanaan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian yang ditutup sejak 2015 itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, bagi tujuan itu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmen menerusi kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta sebelum ini untuk pelaksanaan beberapa komponen penting dalam pembukaan semula zon aliran bebas.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Yahya Saidin, 57, berkata, cadangan pelaksanaan itu merupakan satu usaha yang amat baik oleh kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Katanya, kawasan Wang Kelian sebelum ini sememangnya merupakan lokasi tumpuan pelancong namun situasi itu berubah selepas zon aliran bebas dimansuhkan oleh kerajaan.

“Apabila zon aliran bebas dibuka semula, dapatlah kami cari makan sedikit,” ujarnya.

Zon Aliran Bebas di Wang Kelian mula ditutup pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×