Malaysia 'berpeluh' disuap kimchi

Malaysia ‘berpeluh’ disuap kimchi

NORAIZAT Nordin melakukan libasan ketika menentang Korea Selatan pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin dipaksa bekerja keras untuk menumbangkan Korea Selatan di suku akhir acara beregu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Pasangan Korea Selatan, Kim Young Cheol dan Shin Hee Seop mengheret pertarungan hingga ke set penentuan sebelum akur dengan kekalahan 11-15, 17-15, 8-15 kepada tuan rumah yang menerima sokongan padu penyokong.

Pada set pertama, Aidil Aiman dan Noraizat mempamerkan penguasaan sempurna biarpun pada peringkat awal Taegok Warriors cuba memberi saingan dengan mengekori rapat kutipan mata sebelum Malaysia menang 15-11.

GANDINGAN Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin ketika menentant Korea Selatan.

Pada set kedua, permulaan nampak memihak kepada Malaysia, namun, Korea Selatan bangkit untuk mendahului Malaysia 10-8 dan libasan dan hadangan sempurna yang dipamerkan Hee Seop membolehkan mereka menang 17-15.

Terikat 1-1 menyaksikan pertarungan diheret ke set ketiga dan Malaysia memperbaiki kesilapan pada set kedua dengan Aidil Aiman dan Noraizat menguasai permainan dan menang 15-8.

“Alhadulillah kami berjaya mara ke separuh akhir, pertarungan dengan Korea Selatan sengit kerana mereka juga boleh bermain baik. Kami ada melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang menyebabkan kami hilang mata.

“Kami akan perbaiki lagi persembahan dalam peringkat separuh akhir malam ini menentang Myanmar, kita pernah berjumpa Myanmar di separuh akhir Sukan SEA Kemboja dan kita menang pada ketika itu.

“Saya harap kita dapat ulangi kejayaan itu dan saya dan Aidil Aiman akan berikan yang terbaik. Keadaan Aidil Aiman semakin baik, selepas alami gastrik semalam. Isya-Allah dia akan lebih baik nanti,” kata Noraizat.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan Myanmar pada pukul 8 malam ini selepas pasukan kendalian Aung Cho Myint berjaya menumbangkan India dengan kemenangan straight set 15-8, 15-13.

Satu lagi peringkat separuh akhir menyaksikan pertembungan antara Thailand dan Indonesia- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×