BEIJING: Stesen kereta api bawah tanah di Chongqing, China merupakan yang terdalam di dunia yang boleh membuatkan telinga pengguna berdengung apabila menuruni lifnya.
Lapor Oddity Central, pengguna pasti akan mengalami barotrauma telinga akibat perbezaan tekanan udara kerana stesen itu terletak 116 meter dalam, bersamaan dengan kira-kira 40 tingkat di bawah tanah.
Stesen Hongyancun terletak di Laluan Metro Chongqing 5 dan 9, antara Jingwei Avenue dan Shabin Road, di Daerah Yuzhong.
Bandar metropolis China itu terkenal dengan keistimewaan lanskapnya yang berbukit-bukau, jalan berliku serta binaan rumah dan bangunan di kawasan cerun.
Stesen itu dilaporkan siap pada 2022, selepas 400 hari kerja yang melelahkan.
“Kampung Hongyan terletak di tebing selatan Sungai Jialingjiang berhampiran Jambatan Hualong di luar pinggir bandar Chongqing.
“Ia terletak di atas satu daripada banyak bukit di perbandaran China, jadi pekerja terpaksa menggali dengan sangat dalam untuk menyambungkan stesen baharu ke laluan kereta api bawah tanah di bandar itu.
“Orang ramai dilaporkan mengambil masa 38 minit untuk mendaki dari bawah stesen ke atas dan mendakwa berasa seperti mendaki gunung setiap hari,” jelas laporan itu.
Kerana kedalamannya yang ekstrem, Stesen Hongyancun kini menjadi tarikan pelancong paling terkenal di Chongqing.
Terdapat rakaman video pelancong datang dari jauh ke bandar itu hanya untuk merasai pengalaman turun ke bahagian bawah Stesen Hongyancun menggunakan lapan eskalator besar atau lif moden yang terdapat di situ.
Menariknya, ia mengambil masa 53 saat untuk sampai ke bahagian bawah Stesen Hongyancun melalui lif, dan lebih 10 minit melalui eskalator.










