SEREMBAN: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Negeri Sembilan memberi jaminan untuk teguh dan setia bersama dalam perjuangan parti itu.
Sehubungan itu, kedua-dua ADUN tersebut iaitu ADUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker dan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad turut telah menandatangani arahan bertulis yang telah dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada Jumaat lalu.
Mohamad Hanifah justeru berkata, dengan tindakan menandatangani surat tersebut, tiada lagi kemusykilan kepada pengundi-pengundi Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) negeri ini berkenaan kesetiaan ADUN Bersatu selepas ini.
“Ini (tandatangan surat) adalah tambahan bai’ah yang dilakukan sebelum ini bagi memastikan ahli Bersatu tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya lagi, apabila sudah menandatangani surat aku janji itu, beliau yakin kesetiaan ahli Bersatu kepada parti itu juga akan terus utuh.
“Ia bukannya hanya sekadar menandatangani surat tersebut tetapi kami memang seorang yang tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan parti dan sahabat-sahabat lain,” kata beliau.
Media terdahulu melaporkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini diberi tempoh 14 hari untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan MPT parti itu.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin arahan bertulis itu juga turut dihantar kepada semua wakil rakyat Bersatu yang lain.
Sementara itu dalam perkara lain, Mohamad Hanifah yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata, PN bukan sekadar membawa naratif agama untuk menarik sokongan pengundi sebaliknya turut memperjuangkan serta membangkitkan mengenai isu-isu lain sama ada membabitkan ekonomi dan pembangunan.
“Ada anggap PN dan Bersatu sangat esktrem tetapi sebenarnya kami selalu bertindak dan berperanan menjadi semak dan timbang. Itu yang dilakukan ke atas kerajaan negeri hari ini,” katanya.-UTUSAN.











