DUBAI: Presiden Iran, Ebrahim Raisi, yang dilihat bakal menggantikan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, disahkan terbunuh dalam nahas helikopter di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan kelmarin.
Perkara itu disahkan pegawai dan media kerajaan Iran.
Mayat Ebrahim dan Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian ditemukan tengah hari semalam selepas pencarian dilakukan semalaman dalam keadaan ribut salji.
“Presiden Ebrahim, Menteri Luar dan semua penumpang dalam helikopter itu terbunuh dalam nahas itu,” kata seorang pegawai kanan Iran kepada Reuters.
Kematian Ebrahim kemudiannya disahkan melalui satu kenyataan dalam media sosial oleh Naib Presiden Iran, Mohsen Mansouri dan di televisyen negara itu.
Televisyen negara melaporkan bahawa imej menunjukkan pesawat itu terhempas ke puncak gunung, walaupun tiada kenyataan rasmi mengenai punca nahas berkenaan.
Sebelum terlibat nahas, Ebrahim dikatakan pulang dari acara merasmikan Empangan Qiz-Qalasi dengan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Penduduk tempatan memberitahu wartawan media rasmi kerajaan, IRNA bahawa mereka mendengar bunyi dentuman di wilayah itu.
Lebih 20 pasukan mencari dan menyelamat yang serba lengkap, termasuk dron dan anjing pengesan, dihantar ke kawasan berkenaan.
Malah, angkatan tentera Iran juga mengerahkan unit komando dan pasukan khas untuk membantu dalam operasi mencari.
Mengikut laporan IRNA, Ebrahim menaiki helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat (AS).
Ebrahim, 63, dipilih sebagai Presiden Iran pada 2021 dan sejak memegang jawatan itu, beliau mengarahkan undang-undang moral diperketatkan, menyelia tindakan keras terhadap protes antikerajaan dan mendesak bersungguh-sungguh dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.
Pasukan penyelamat ‘bertempur’ dengan ribut salji sepanjang malam untuk sampai ke bangkai pesawat pada awal pagi semalam.
“Dengan penemuan lokasi nahas, tiada tanda-tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu,” kata Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand, kepada televisyen kerajaan.
Penyiar kebangsaan itu menghentikan semua program biasa dan menyiarkan doa untuk Raisi di seluruh negara.
Beberapa negara menyatakan kebimbangan dan menawarkan bantuan mereka.
White House berkata, Presiden AS, Joe Biden turut diberi taklimat mengenai nahas berkenaan.
China pula berkata, mereka amat bimbang dengan kejadian tersebut manakala Kesatuan Eropah menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan.
Kemalangan itu berlaku pada waktu perbezaan pendapat yang semakin meningkat di Iran berhubung pelbagai krisis politik, sosial dan ekonomi.
Pemerintah ulama Iran menghadapi tekanan antarabangsa berhubung program nuklear Tehran yang dipertikaikan dan hubungan ketenteraan yang semakin mendalam dengan Russia semasa perang di Ukraine.
Sejak sekutu Iran, Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, ia mencetuskan serangan Israel ke atas Gaza, kebakaran yang melibatkan kumpulan bersekutu Iran telah meletus di seluruh Asia Barat.
Selama bertahun-tahun, ramai pihak melihat Ebrahim sebagai pengganti Khamenie. – REUTERS










