7 juta tan tandan sawit dibiar reput, negara gagal jana RM10b

7 juta tan tandan sawit dibiar reput, negara gagal jana RM10b

TANDAN sawit kosong mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya sisa itu dimanfaatkan dan dibuat produk inovasi seperti kertas, cawan dan pembungkus makanan yang mesra alam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Negara didakwa gagal menjana pendapatan RM10 bilion setahun apabila dianggarkan kira-kira tujuh juta tan sisa tandan kelapa sawit kosong yang dihasilkan daripada aktiviti perladangan dibuang dan dibiarkan mereput di ladang-ladang.

Dianggarkan daripada tujuh juta tan tandan sawit kosong itu sekiranya diproses, ia dapat memperoleh 30 peratus sabut bersih bersamaan kira-kira dua juta tan.

Anggaran pendapatan dua juta tan sabut bersih itu kira-kira RM4 bilion setahun berdasarkan harga pasaran semasa antara RM1,500 hingga RM2,000 satu tan.

Sekiranya diproses menjadi kertas, cawan dan pembungkus makanan yang mesra alam, lebih RM6 bilion setahun mampu diperoleh negara sekiranya bahan mentah daripada tandan sawit itu dimanfaatkan sebaiknya seperti mana dilakukan di China.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, ia bukan sahaja menyebabkan negara kehilangan potensi hasil malah berlaku pencemaran apabila terdapat tapak-tapak pengumpulan tandan kosong kelapa sawit yang terbakar terutama pada musim kemarau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sisa buangan tandan sawit kosong merupakan antara terbesar dihasilkan setiap tahun selain pelepah sawit.

Menurutnya, sisa buangan tersebut sepatutnya diuruskan dengan baik dan sistematik bukan sahaja bagi menjana pendapatan negara malah demi kelestarian industri serta alam sekitar.

“Akibat kekurangan inovasi, sekarang ini kita dapati banyak sisa tandan sawit dibiarkan berlonggok di ladang-ladang sawit dan akhirnya reput begitu sahaja.

“Ia berbeza dengan negara jiran seperti Thailand, begitu juga negara China, mereka memanfaatkan sisa tandan sawit kosong ini untuk menjana pendapatan, ia sekali gus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya di sini semalam.

Setiap tahun, dianggarkan sekitar 85 hingga 100 juta tan sisa buangan sawit dihasilkan oleh industri sawit di Malaysia. Sisa sawit yang dihasilkan daripada aktiviti perladangan ialah pelepah sawit dan batang sawit.

Pelepah sawit terhasil semasa aktiviti pemangkasan dan penanaman semula, manakala batang sawit terhasil daripada aktiviti penanaman semula.

Buah sawit yang dituai dari ladang akan menjalani proses pengekstrakan minyak sawit mentah di kilang yang akan menghasilkan sisa sawit seperti tandan sawit kosong, tempurung sawit, gentian mesokarpa dan efluen kilang sawit (POME).

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, YPNM mencadangkan supaya kerajaan memanfaatkan sisa tandan kosong bagi menghasilkan cawan dan pinggan pakai buang serta kertas yang mesra alam.

“Sisa tandan sawit kosong boleh dikitar semula bagi menghasilkan pinggan dan cawan plastik biodegradasi. Ia merupakan sejenis plastik yang dapat terurai melalui tindakan benda-benda hidup menjadi air, karbon dioksida dan biojisim.

“Plastik biodegradasi lazimnya dihasilkan dengan bahan mentah boleh diperbaharui, mikroorganisma, petrokimia atau gabungan ketiga-tiga bahan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan seharusnya membangunkan inovasi dan teknologi, menggunakan secara optimum pengeluaran pinggan, mangkuk, kertas dan pelbagai produk daripada pulpa, tandan kelapa sawit dan pelepah sawit berbanding plastik.

“Memandangkan Malaysia adalah negara pengeluaran kedua terbesar daripada hasil kelapa sawit, seharusnya negara tampil dengan produk-produk inovasi yang boleh menyelamatkan alam semesta dunia dengan mengurangkan penggunaan plastik.

“Ia juga dapat membawa nama baik kepada Malaysia dan industri kelapa sawit itu sendiri di mata dunia apabila ia dapat dimanfaatkan menerusi penghasilan produk yang mesra alam,” katanya.

Menurutnya, YPNM berharap cadangan ini dapat dilaksanakan kerana kajian yayasan itu mendapati hampir 600 juta daripada purata 700 juta kilogram plastik setahun yang digunakan rakyat negara ini mencemarkan sungai dan lautan sekali gus memberikan kesan buruk kepada hidupan marin sera keseluruhan rantaian makanan.

Menurutnya, isu pencemaran plastik di lautan semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana ia membawa kemudaratan kepada kehidupan laut dan juga manusia.

“Plastik bukan sahaja bahaya kepada hidupan laut seperti penyu, anjing laut dan burung laut yang mencatatkan kematian tinggi akibat termakan sumber plastik, malah plastik juga bahaya kepada ikan yang merupakan sumber protein utama dimakan oleh manusia pada setiap hari.

“Bahan kimia digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A(BPA)atau Polybrominated merupakan sejenis toksik yang banyak ditemukan dalam ikan serta mamalia yang berupaya mengakibatkan kesan kronik terhadap kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan proses mutasi yang mengakibatkan kanser,” katanya.

Beliau berkata, YPNM berharap cadangan itu dapat dilaksanakan supaya wujud perubahan sikap rakyat terhadap penggunaan plastik.

“Hal ini bagi menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang yang mana jelas kita memainkan peranan cukup penting untuk menangani isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×