Sumpah saya tak tahu dia OKU - Baby Shima - Utusan Malaysia

Sumpah saya tak tahu dia OKU – Baby Shima

Baby Shima
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara membuat lawak dengan mempersenda pergerakan seorang tokoh orang kelainan upaya (OKU) dalam aplikasi TikTok, penyanyi Baby Shima menjadi bahan kecaman orang ramai lantaran disifatkan tidak sensitif selain menghina golongan istimewa.

Penyanyi berusia 29 tahun ini bagaimanapun mengaku benar-benar tidak tahu bahawa lelaki yang dikenali dengan nama Zhariff Affandi tersebut adalah seorang OKU.

“Sumpah demi Allah SWT, saya tidak tahu lelaki tersebut seorang OKU. Asalnya saya ternampak video itu daripada aplikasi TikTok dan tak teliti betul-betul pun sebab mata hanya tertumpu pada kakinya sahaja.

“Dari situ timbul idea nak buat video TikTok. Tapi lepas itu tiba-tiba sahaja saya dihujani dengan kata-kata negatif. Kemudian barulah saya tahu tentang keadaan sebenar lelaki itu,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menyedari kekhilafan diri, Baby Shima memohon maaf atas tingkah lakunya sekiranya telah menyebabkan ada pihak merasa tersinggung.

“Tiada apa yang boleh saya katakan selain memohon kemaafan daripada semua pihak yang mungkin terasa dengan video tersebut.

“Saya mahu semua orang tahu bahawa tiada langsung niat untuk menghina atau menyebabkan sesiapa tersinggung,”katanya.

Selain itu, menurut penyanyi ini lagi, dia juga sudah memadam video tersebut dalam akaun media sosialnya namun tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak tidak bertanggungjawab terus-menerus menyebarkannya.

“Saya sudah berbincang dengan peguam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan video itu selepas ini.

“Berhentilah, jangan rosakkan nama dan imej saya,”katanya.

Terdahulu, Baby Shima menerusi video yang bertebaran dalam Internet dilihat melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan selain cuma menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian dalam sebuah sesi temu sebuah program TV.

Bahana video TikTok itu, Baby Shima dikecam warganet yang menganggap penyanyi ini sedang menghina golongan OKU. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×