SEREMBAN: Masalah keretakan jalan di laluan masuk ke kawasan perumahan Taman Sri Kamban di sini yang berlarutan sejak lapan bulan lalu didakwa semakin teruk dan mengancam keselamatan penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Kamban, Cheok Chong Yiu berkata, mendapan itu kini mencecah kedalaman dua kaki (0.6 meter) melibatkan laluan sejauh 50 meter yang dikhuatiri boleh menyebabkan tanah runtuh.
“Aduan telah dibuat kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sejak bulan Ogos tahun lalu tetapi tiada tindakan awal diambil daripada pihak berwajib.
“Mula-mula retak sedikit sahaja tetapi sekarang makin teruk mungkin disebabkan faktor pergerakan tanah dan apabila hujan mendapan makin besar,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Seri Kamban di sini hari ini.
Jelas Chong You, setiap hari beliau menerima aduan daripada penduduk yang bimbang tentang keselamatan mereka menerusi khidmat mesej WhatsApp.
“Saya sendiri tidak dapat beri jawapan atau jaminan tentang situasi keretakan jalan yang berlaku.
“Kami bukan pihak yang ada autoriti tetapi kalau boleh saya minta pihak terlibat selesaikan isu ini segera sebelum ada nyawa terkorban,” katanya yang memberitahu terdapat 270 unit rumah di perumahan berkenaan.
Lebih membimbangkan, seorang penduduk, Soo Tiang Soi, 60, berkata, jarak lokasi mendapan dengan beberapa buah rumah sangat dekat malah di bahagian bawah jalan itu terdapat perumahan lain termasuk sebuah tadika.
“Saya syak kemungkinan ada saliran air di bawah tanah akibat paip pecah yang secara tidak langsung menyebabkan berlaku mendapan jalan.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti mengenai hal itu sebab bukan orang yang berpengetahuan dalam bidang ini, tambahan pula laluan ini merupakan jalan utama keluar masuk kira-kira 3,000 penduduk,” katanya yang memberitahu jalan tersebut telah ditutup untuk laluan kenderaan.
Tinjauan pula mendapati, pihak MBS telah turun padang melakukan kerja-kerja pembaikan jalan bermula pukul 11 pagi tadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran berkata, aduan mengenai masalah tersebut telah dipanjangkan kepada pihak MBS sejak Disember tahun lalu dan terbaharu semalam sebelum mereka melakukan kerja-kerja pembaikan segera hari ini.
“Hasil perbincangan awal, pihak berkenaan memaklumkan bahawa struktur tanah masih kuat dan kerja pembaikan seperti mengorek tanah serta meletakkan batu baur dilaksanakan pada hari ini.
“Tindakan jangka panjang pula akan menyusul selepas ini bagi mengelakkan tindakan tidak diingini berlaku susulan situasi ini mendapan yang semakin teruk,” katanya.-UTUSAN.










