Pasir Puteh: Selepas kering air mata menangisi ‘pemergian’ Muhammad Aman Firas Aman Shah yang dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak, ibunya pasrah dan cuba menerima kenyataan itu sebagai ketentuan Allah SWT.
Nik Nor Asyikin Nik Abdullah Sani, 36, sudah menyediakan kain batik bagi menutupi jasad anaknya jika ditemukan.
Wanita itu juga membuat keputusan mahu mengebumikan si anak bersebelahan pusara neneknya di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Beris Lalang, Bachok.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Nor Asyikin berkata, sejak kelmarin dia tidak henti berdoa agar jasad Aman Firas ‘dikembalikan’ dalam keadaan sempurna.
“Kebesaran Allah dan satu keajaiban berlaku membuatkan saya terasa kerdil terhadap kekuasaan-Nya. Berita penemuan Aman Firas yang masih hidup diterima sekitar pukul 11 malam membuatkan saya sebak.
“Dia diselamatkan kumpulan pemancing ketika terapung dalam keadaan terlentang, dengan hidungnya sahaja yang kelihatan. Dia mendongak ke atas manakala seluruh tubuh dalam air,” ujarnya dengan tangisan kesyukuran.
Cerita Nik Nor Asyikin lagi, Aman Firas yang juga penghidap disleksia menceritakan bahawa dia pengsan selepas ditenggelami air laut dan dalam keadaan tidak sedarkan diri itu, dia bagaikan berada di kayangan yang penuh kelipan cahaya lampu.
“Dia juga memberitahu hidungnya terasa pedih seperti terkena cili api, mungkin dimasuki air masin. Alhamdulillah hari ini (semalam) dia kelihatan sihat namun masih dipantau pegawai perubatan dan dijangka keluar Hospital Tengku Anis (HTA) esok (hari ini),” ujarnya.
Bercerita lanjut, Nik Nor Asyikin berkata, ketika suaminya, Aman Syah Musa, 38, memaklumkan khabar anak sulung daripada dua beradik itu lemas pada pukul 7 malam, dia yang menghadiri kenduri kahwin bergegas ke pantai.
“Saya tidak mengetahui Aman Firas dibawa ke kawasan pantai kerana sebelum ini dia dilarang bermain di situ kerana dia tidak pandai berenang,” katanya.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, Aman Firas ditemukan terapung dalam keadaan letih dan menggigil kesejukan.
“Nelayan yang menjumpainya segera membawa Aman Firas ke jeti di Tok Bali, Pasir Puteh sebelum dihantar ke Hospital Tengku Anis dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, Aman Firas dilaporkan hilang dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Kandis sekitar pukul 5 petang kelmarin bersama dua lelaki yang cuba menyelamatkannya.
Bagaimanapun, dua lelaki terbabit, Mohd Sahudin Mat Shaah, 46, dan Juhairohafizan Juhari, 35, ditemukan mati lemas tidak jauh dari lokasi mereka dikatakan hilang.
Jenazah kedua-dua mangsa yang juga jiran Nik Nor Asyikin selamat dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Lalang semalam. – UTUSAN











