PETALING JAYA: Malaysia sedia membantu Uzbekistan menjadi pusat ilmu pengajian hadis dan latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana negara itu yang terletak di rantau Asia Tengah mempunyai potensi tinggi serta sejarah istimewa terutamanya pusat pembangunan berkaitan ahli hadis.
“Apabila Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev mahu menjadikan (Uzbekistan) sebagai pusat ilmu pengajian hadis dan latihan….tentunya ia akan mengundang kepakaran kita.
“…sebab itu saya minta Menteri Agama (Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya melihat bagaimana boleh kita manfaatkan kekuatan mereka dan di samping itu dapat juga lihat (bagaimana) mereka boleh menimba pengalaman dari Malaysia,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di akhir lawatan beliau di Uzbekistan.
Dalam pada itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkongsi beliau dan delegasi dibawa menziarahi Kompleks Laluan Sutera Samarkand yang antara lain menempatkan Kota Abadi.
Selain itu, Kompleks Shah-i-Zinda yang antara lain menempatkan makam Kusam ibn Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW yang juga antara pendakwah terawal membawa ajaran Islam ke Uzbekistan.
“Kami juga dibawa menziarah Makam Amir Temur, pemerintah agung Empayar Timurid yang mencetus pembinaan negara yang kukuh dan berpusat serta mengangkat ilmu pengetahuan dan kebudayaan.
“Kagum melihat keindahan binaan makam-makam di Shah-i-Zinda dan Makam Amir Temur yang mula dibina sekitar abad ke-11 dan dipelihara dengan baik oleh Kerajaan Uzbekistan,” kongsinya.
Seterusnya, Anwar berkata, delegasi Malaysia turut dibawa ke Registan Square yang menempatkan Ulugbek Madrasah yang merupakan antara masjid terkemuka dunia dan pernah menjadi pusat pengajian saintifik terbesar di Samarkand.
“Turut sempat bertemu sapa dengan empat pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Uzbekistan.
“Delegasi Malaysia kemudian dipaparkan dengan sejarah ketamadunan Uzbekistan, khususnya Samarkand yang menjadi lokasi penting dalam Laluan Sutera, menerusi persembahan projektor unik yang dipancarkan ke fakad madrasah,” kongsinya. – UTUSAN











